Calon USNO tuntut Imam Mail beri penjelasan

Calon-USNO-tuntut-Imam-Mail-beri-penjelasan.jpg

Norliah (dua dari kanan) dan Sharudin (dua dari Kiri) bersama calon-calon Usno ketika sidang media berkenaan. -Gambar Oleh Alex Mairin

KOTA KINABALU: Calon Parti Usno yang sepatutnya bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menuntut diberi keadilan selepas ditipu oleh seorang imam yang juga penasihat kewangan parti itu yang membawa lari deposit pembayaran pendaftaran calon berjumlah RM870,000.

Ketua Bahagian Usno Tenom Norliah Yuntong berkata, tindakan lelaki berkenaan yang digelar Imam Mail atau nama sebenarnya Jun Alias Laip menyebabkan hanya dua calon parti itu didaftarkan dengan menggunakan wang sendiri manakala calon selebihnya membabitkan 26 parlimen termasuk labuan dan 58 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) gagal didaftarkan.

Norliah juga menuntut Presiden Parti Usno Duli Tiaseh untuk campur tangan dalam isu itu dan memberikan penjelasan sebenar kerana kejadian itu menyebabkan calon yang tidak dapat bertanding menerima pelbagai kecaman dan ugutan selain dituduh sebagai penipu.

“Kami sebagai calon-calon Usno di seluruh Sabah, kami ada 86 orang semuanya termasuk parlimen dan dun merasa ditipu oleh pucuk pimpinan kami dan juga ahli ahli majlis tertinggi yang mengendalikan perkara ini,”katanya.

Baca Juga: 84 Calon USNO putih mata

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kota Kinabalu bersama tujuh calon Usno yang menjadi mangsa kejadian berkenaan, semalam.

Sementara itu, menurut Sharudin Sukimin yang sepatutnya bertanding di DUN Sulaman, punca Imam Mail bertindak sedemikian adalah kerana mahu presiden parti itu untuk meletak jawatan.

Sharudin menyatakan, Imam Mail hanya akan memulangkan duit berkenaan selepas presiden parti meletak jawatan dan sehingga kini beliau masih gagal dihubungi untuk menjelaskan perkara itu.

“Dia mahu itu presiden letak jawatan kalau presiden letak jawatan dia akan bagi itu duit ,presiden tu sama setiausaha agong tu dia mahu letak jawatan, kalau tidak letak jawatan, no money, jadi tidak adil lah,”katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu

Loading...
scroll to top