Drama Politik Sabah genting

Drama-Politik-Sabah-genting.jpg

KOTA KINABALU: Drama politik di Sabah nampaknya belum berakhir, malah semakin genting walaupun Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman sudah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri di sini, malam tadi.

Ini berikutan, kemunculan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dari UMNO, Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik) dan Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu) di kediaman Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, tengah hari tadi.

Kehadiran kedua-dua ADUN itu yang malam tadi hadir upacara angkat sumpah Ketua Menteri, kelihatan tiba dari halaman belakang dan dipercayai mengadakan pertemuan tertutup dengan Mohd Shafie serta beberapa pemimpin kanan WARISAN.

Kedua-dua ADUN itu tidak dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Sabah yang diumumkan Musa selepas mengangkat sumpah, malam tadi.

Kedudukan politik di Sabah pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) genting selepas BN dan WARISAN masing-masing memiliki 29 kerusi DUN, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memiliki dua, sebelum BN membentuk kerajaan dengan kerjasama STAR yang diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Sebelum itu, WARISAN bersama PKR dan DAP dilaporkan akan menubuhkan kerajaan selepas Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) umum keluar BN dan membawa lima ADUN untuk menyertai pakatan terbabit.

Bagaimanapun, lima ADUN terbabit, Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Ewon Benedick (Kadamaian), Datuk Bobbey Ah Fang Suan (Nabawan), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk Masiung Banah (Kuamut) menyatakan pendirian mahu kekal dalam BN.

Terdahulu, Mohd Shafie dalam sidang media berkata, WARISAN tidak mengiktiraf kerajaan negeri baharu diketuai Musa yang disifatkannya tidak sah kerana tidak mendapat mandat mutlak untuk membentuk kerajaan.

“Kami tahu sokongan rakyat tidak berada di pihak mereka,” katanya sambil menegaskan pelantikan Musa tidak akan kekal.

Ditanya sama ada terdapat elemen kejutan dari WARISAN, beliau meminta media supaya tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selanjutnya.

“Ada beberapa perkara yang perlu dilakukan, kami tidak akan membiarkan kerajaan yang tidak sah… kita tunggu dan lihat. Masa akan tiba dan dalam politik selalu ada perkara mengejutkan,” katanya.

Mengenai sama ada beliau akan menerima jawatan menteri Persekutuan, Mohd Shafie berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada rakyat Sabah terlebih dahulu.

Baca Juga: Dua DUN BN Hadir ke rumah Shafie
Loading...
scroll to top