Duit USNO hilang atau tak wujud ?

Duit-hilang-atau-tak-wujud.jpg

WANG tunai RM870,000 milik parti pembangkang tempatan di Sabah, USNO untuk bayaran deposit calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang didakwa hilang, sebenarnya tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, individu dikatakan suspek berusia 38 tahun yang didakwa melarikan wang berkenaan sehari sebelum penamaan calon, turut membuat laporan polis pada 29 April lalu di Kota Belud bagi menafikan beliau menerima wang berkenaan.

“Siasatan awal polis mendapati wang RM870,000 ini sebenarnya tidak wujud, hanya dijanjikan oleh seorang daripada ahli parti USNO itu.

“Tidak ada sesiapa pernah melihat atau ada menerima wang RM870,000 itu. Bagaimanapun siasatan masih di peringkat awal dan lelaki didakwa melarikan wang itu juga tampil membuat laporan polis membuat penafian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Ramli berkata, sebanyak lapan laporan polis diterima setakat ini berhubung kes berkenaan termasuk daripada individu yang mendakwa tidak dapat menjadi calon susulan ‘kehilangan’ wang terbabit.

Ramli berkata, polis tidak menolak kemungkinan ada individu yang dijanjikan untuk menjadi calon USNO Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ada membuat pembayaran kepada parti itu sebagai wang cagaran.

“Seramai 10 saksi sudah dipanggil termasuk presiden parti itu untuk dirakam percakapan dan polis akan memanggil ramai lagi saksi bagi mendapatkan lebih maklumat sebelum diajukan ke Timbalan Pendakwaraya,” katanya.

Susulan siasatan itu, Ramli berkata, satu pasukan khas ditubuhkan di peringkat IPK Sabah untuk meneliti laporan itu supaya disegerakan.

Ketika ditanya sama ada antara ‘bakal calon’ yang tertipu adalah penjawat awam, Ramli berkata, kebanyakannya adalah individu yang bersara, namun ia masih dalam siasatan lanjut.

Sabtu lalu, seorang Ahli Majlis Tertinggi USNO membuat laporan polis mendakwa wang tunai RM870,000 milik parti itu untuk bayaran deposit calon bertanding dalam PRU-14 hilang dilarikan pemimpin kanan parti terbabit.

Kejadian itu didakwa berlaku pada petang Jumaat, sehari sebelum hari penamaan calon apabila lelaki berusia 38 tahun itu dikatakan gagal hadir bersama wang berkenaan ke pejabat SPR.

Isnin lalu, tujuh individu mengaku sebagai ahli USNO mengadakan sidang media meminta kepemimpinan parti itu bertanggungjawab susulan kehilangan wang deposit terbabit.

Malah, seorang daripada mereka yang ditawar menjadi calon mendakwa terpaksa meminjam wang daripada ceti haram atau along semata-mata mahu membayar cagaran kepada parti bagi membolehkannya bertanding dalam PRU-14.

Loading...
scroll to top