HARAPAN yakin takluk Semua Kubu Kuat BN

Beaufort : Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yakin akan dapat ‘menakluk’ semua kubu kuat Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO di beberapa kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Parlimen Beaufort.

Presidennya Datuk Seri Lajim Ukin berkata, pihaknya turut yakin akan dapat menewaskan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berikutan terdapat perubahan senario politik dan gelombang pemikiran rakyat akar umbi yang ditunjukkan kini.

“Kita dapat lihat pada malam ini (kelmarin) penduduk di Kampung Pilajau yang hadir di kawasan kubu kuat BN khususnya UMNO sudah berjaya kita ‘takluki’.

“Ini terbukti apabila lebih 200 orang hadir memberi sokongan kepada kita selain turut menyertai parti selain menubuhkan beberapa cawangan disini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Pilajau disini kelmarin.

Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias turut yakin kubu kuat UMNO dan BN dikawasan terbabit akan ‘terkubur’ pada PRU14 akan datang.

“Ini bukan sahaja dikawasan PDM Melabau iaitu dalam Kampung Pilajau, malah disemua kubu kuat UMNO juga kita akan takluki.

“Selain itu,kami juga yakin apabila pelbagai isu semasa yang dibangkitkan rakyat, ditambah pelbagai masalah dikalangan akar umbi juga dilihat tidak selesai,”katanya.

Lajim berkata, Harapan Rakyat mempunyai ‘sifir’ tersendiri bagi berdepan BN di DUN Klias dan Parlimen Beaufort pada PRU14 kelak.

“Kita yakin ini akan diterima akar umbi yang sudah dibuktikan dengan sokongan meningkat hasil beberapa siri jelajah dan program dibeberapa kawasan di seluruh Sabah.

“Apa yang lebih penting, Harapan Rakyat juga menerima sokongan padu daripada generasi muda yang inginkan perubahan pada pentadbiran kerajaan,”katanya.
Dalam perkembangan sama,Lajim berkata, beberapa inisiatif akan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan serta kebajikan rakyat terus terjamin.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan jika rakyat dapat memberi mandat pada kita pada PRU14 akan datang.

“Antaranya pendidikan percuma, penambahan elaun kebajikan dan pelbagai inisiatif lain,”katanya.

Terdahulu pada majlis itu Lajim turut menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada warga emas dan ibu tunggal.

Selain itu Lajim turut menerima borang keahlian dan penubuhan cawangan bagi kawasan PDM Malabau.

Loading...

Join the Discussion

Your email address will not be published. Required fields are marked *

arrow