Jamawi dapat restu KJ lompat ke WARISAN

KUALA LUMPUR : Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabon dari Barisan Nasional (BN) Jamawi Jaafar menegaskan beliau sudah mendapat restu Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebelum mengumumkan lompat parti ke Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO menjelaskan Khairy tidak menghalang keputusan dibuatnya.

Pada masa sama, beliau turut mengambil kira pandangan pengundi di kawasan DUN yang dimenanginya sebelum membuat keputusan berkenaan.

“Sebelum saya membuat keputusan saya sudah maklumkan Khairy Jamaluddin. Beliau tidak dapat menghalang. Bagi saya, kepentingan rakyat perlu dipedulikan tetapi ada banyak usaha dilaksanakan bukan sahaja untuk keperluan sistem pentadbiran telus dan sistematik tetapi juga kehendak rakyat sepenuhnya. Mungkin apa yang berlaku rakyat bagi signal pada kerajaan BN bahawa perlu ada perubahan drastik,” katanya semasa program “Malaysia Memilih 2018” di Astro AWANI hari ini.

Malah, keputusan beliau melompat parti WARISAN itu juga menunjukkan perlu ada perubahan drastik di peringkat pemimpin atasan dan bawahan.

“Kami memilih untuk menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana kawasan kami dipilih ini kawasan luar bandar dan memerlukan lebih banyak pembangunan. Ia akan dapat dibela jika ada hubungan baik dengan kerajaan persekutuan,” tambahnya.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada petang Jumaat mengumumkan enam wakil DUN BN dan Upko menyertai WARISAN.

Selain Jamawi, ADUN BN terlibat adalah Abdul Muis Pichu (Sebatik); Hamisa Samat (Tanjong Batu); dan Osman Jamal (Balung).

Sementara ADUN UPKO yang terlibat adalah Ewon Benedict (Kedamaian) dan Abidin Mandakir (Paginatan).

WARISAN bersama sekutunya PKR dan DAP kini memiliki 35 kerusi berbanding BN cuma 25 kerusi.

Loading...

Leave a Reply

arrow