Jangan Terpengaruh Sentimen ‘Sabah For Sabahan’

Datuk-Tawfiq-Abu-Bakar-Titingan-1.jpg

Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan

Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan

Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan

TAWAU: Rakyat tidak perlu terpengaruh dengan sentimen ‘Sabah for Sabahan’ kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kebencian dalam kalangan ‘rakan-rakan’ dari Semenanjung.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, sentimen yang cuba dimainkan segelintir pihak itu sangat berbahaya dan disifatkannya sebagai ‘sentimen sempit’.

“Kita sangat risau kerana wujudnya gerakan yang mendorong rakyat Sabah membenci rakan-rakan dari Semenanjung,” katanya sambil mengajak rakyat menjadikan Peristiwa Tanduo 2013 sebagai iktibar.

Tawfiq berkata demikian semasa melancarkan Kembara Super Bikers Pra Pelancaran Bulan Kebangsaan & Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan 2016 di sini, pada Jumaat, melibatkan konvoi 40 pacuan empat roda dan 22 buah motosikal berkuasa tinggi.

Mengulas lanjut, beliau berkata Peristiwa Tanduo 2013 jelas menunjukkan semangat rakyat Malaysia yang bersatu-hati mempertahankan kedaulatan Sabah yang diganggu-gugat kumpulan militan.

Menurutnya, ramai pejuang tanahair yang terkorban pada masa itu kerana mempertahankan Sabah bukanlah warga Sabah tetapi mereka yang berasal dari Semenanjung dan Sarawak.

“Jangan kita lupa dengan Peristiwa Tanduo 2013 kerana insiden itu perlu dihayati segenap lapisan masyarakat untuk meningkatkan solidariti dan semangat patriotik dalam diri masing-masing.

“Lebih-lebih lagi pengorbanan mereka tidak mampu terbalas, justeru sempena Hari Kebangsaan 2016, marilah kita meningkatkan perpaduan ke tahap tertinggi,” katanya.

Menyentuh pemilihan Tawau sebagai tuan rumah rasmi untuk Pelancaran Bulan Kebangsaan & Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan 2016, beliau menyifatkannya sebagai penghormatan untuk Daerah Tawau.

Tawfiq berkata, pemilihan Tawau begitu signifikan kerana sebagai sebuah daerah yang terletak di kedudukan persempadanan dua negara berjiran iaitu Indonesia dan Filipina.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Dato’ Ibrahim Abdul Rahman selaku Ketua Konvoi dan Timbalan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia (Pengurusan) Datuk Almain Ajirul.

Loading...
scroll to top