Janji royalti 20% tidak penuhi kehendak rakyat, kata Bung Moktar

Bung-Moktar-royalti-20-peratus.jpg

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen dari Sabah tidak percaya kefahaman kerajaan pusat mengenai pemberian royalti minyak 20% memenuhi kehendak rakyat negeri itu.

Bercakap kepada FMT semalam, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkata berdasarkan kefahamannya, maksud kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ialah pengagihan royalti 20% daripada keuntungan hasil minyak yang dikeluarkan oleh negeri berkaitan.

“Saya percaya Sabah dianggarkan mengeluarkan kira-kira 30% daripada hasil keseluruhan minyak. Jadi royalti 20% ke atas keuntungan ialah sebanyak 5.6%, iaitu pertambahan hanya 0.6% untuk negeri Sabah.”

Bagaimanapun Bung berkata, beliau akan menunggu kerajaan pusat memberi penjelasan terperinci mengenai royalti 20% yang dimaksudkannya.

Seorang aktivis politik Sarawak percaya kenyataan Dr Mahathir itu hanyalah kata-kata manis dan bertujuan mengelirukan Parlimen serta rakyat, terutamanya pemimpin serta rakyat negeri yang mengeluarkan minyak.

Bersependapat dengan Bung Moktar, Zulfaqar Sa’adi berkata, janji Dr Mahathir sebenarnya melanggar Akta Pembangunan Petroleum itu sendiri, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada perdana menteri berniat meminda akta berkenaan dalam persidangan Parlimen akan datang.

“Cadangan Dr Mahathir juga bercanggah dengan Perkara 112C(4)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan royalti ad valorem maksimum ialah sebanyak 10%.

“Jadi bagaimanakah seorang individu boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan dan berkata beliau akan meningkatkan bayaran royalti kepada 20%? Ini tidak mungkin berlaku melainkan Perlembagaan dipinda,” katanya.

Loading...
scroll to top