Jumat Idris Ketengah Isu Penting Untuk Sabah

Jumat-Idris.jpg

JUMAT IDRIS masih menjalani hukuman digantung UMNO selepas mengkritik Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris dalam ucapan perbahasan usul Bajet 2017 pada sidang Parlimen, baru- baru ini, telah mengemukakan beberapa usul mustahak untuk kepentingan Sabah.

Antara isu penting yang diutarakan adalah menyokong perjuangan yang dibawa Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman dengan Team My Sabah mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dan perjanjian melibatkan perkara 112c dan 112 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya berdasarkan kandungan itu, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab memulangkan 40 peratus kutipan cukai bersih daripada Sabah kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Jumat juga mempersoalkan cukai hasil setem dan cukai hartanah yang masih dibayar kepada Kerajaan Pusat dan bukannya kepada kerajaan negeri kerana mengikut perjanjian M63 kuasa ke atas tanah tertakluk kepada kuasa Sabah.

Katanya jika cukai-cukai itu dan apa yang disampaikan oleh Team My Sabah kepada Perdana Menteri dipersetujui, maka tidak mustahil kerajaan Sabah boleh mengecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada rakyat Sabah secara kontra dengan hasil tambahan itu.

Mengenai isu kenaikan kos barangan pula, beliau meminta Kerajaan Pusat menghapuskan dasar polisi kabotaj tanpa banyak alasan kerana dasar itu menjadi salah satu sebab perbezaan harga lebih tinggi di Sabah berbanding di Semenanjung.

“Selain kos sara hidup meningkat, produk-produk yang dihasilkan di Sabah juga tidak berdaya saing kerana kos pengeluaran yang tinggi.

‘Selain itu, sejak kemudahan pam bot dibatalkan penggunaannya oleh kerajaan negeri maka saya merayu agar Kerajaan Pusat membantu para nelayan khususnya di Sepanggar yang tidak mampu membeli bot dan perahu kerana pam bot yang mereka pakai telah dimusnahkan oleh pihak berkuasa.

“Yakni, bantuan sebanyak RM10,000 kepada setiap nelayan untuk membeli perahu dan bot sebagai ganti rugi yang melibatkan 200 nelayan pantai,” katanya.

Di samping itu tambahnya, kontraktor khususnya kelas F atau G1 dan G2 bumiputera turut dikenakan GST bagi setiap projek yang dikendalikan.

Malangnya, kata Jumat, mereka tidak layak untuk menuntut rebat kerana tidak berdaftar dengan pihak kastam.

“Syarat untuk berdaftar pada kastam ialah apabila pendapatan tahunan syarikat mencecah RM500,000 setahun.

“Namun disebabkan persaingan yang tinggi dengan bilangan kontraktor kelas ini terlalu ramai, maka sebahagian besar mereka hanya memperolehi tawaran kerja satu atau dua sahaja dengan jumlah syiling RM200,000 bagi setiap syarikat,” katanya.

Dalam isu yang berlainan, beliau turut membangkitkan isu bagi sekolah-sekolah daif seperti Sekolah Kebangsaan Talungan, SK Tombongon, SK Likas, SK Kokol, SK Babagon Toki, SK Kiansam dan SK Rampayan.

Menurut beliau sekolah- sekolah itu ada yang telah diistiharkan tidak selamat oleh pihak Jabatan Kerja Raya. Maka, kementerian berwajib perlu menyegerakan tindakan bagi memastikan nasib sekolahsekolah berkenaan terbela.

Loading...
scroll to top