Maximus sedia balik kampung ke Tambunan

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili bersedia kembali ke kampung halaman beliau untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun katanya, beliau akan memastikan bahawa kerusi Parlimen Kota Marudu yang disandangnya kini selamat untuk PBS dan mendapat sokongan tinggi rakyat pada PRU-14.

“Saya sangat gembira sekiranya dapat berpindah ke kampung halaman sendiri tetapi saya masih mempunyai tanggungjawab besar di Kota Marudu.

“PBS juga akan mempertahankan kesemua 13 kerusi DUN yang sedia ada pada PRU-14 nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Bekalan Elektrik Sabah, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, berkaitan penambahan 13 kerusi baharu DUN, keputusan muktamad masih belum dikeluarkan tetapi berharap pembahagian diberikan sama rata.

Katanya, memang wujud isu dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) berkaitan pembahagian kerusi baharu itu.

“Saya fikir selepas Perdana Menteri dan Ketua Menteri kita mengumumkan nanti, semuanya akan dibahagikan sama rata.

“Janganlah ada yang mengambil semua kerusi kerana BN hanya kuat sekiranya komponan bersatu dan mempunyai peranan masing-masing,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

arrow