Mengapa Sabah terus bertukar-tukar kerajaan?

Bendera-Sabah-e1532620931551.jpg

Mengapa Sabah terus bertukar-tukar Kerajaan?

Kerana ada pemimpin yang mahu mendapatkan kuasa. Usno dijatuhkan oleh pemimpinnya sendiri. Demikian juga Berjaya dijatuhkan oleh pemimpinnya sendiri. PBS juga dijatuhkan oleh pemimpinnya sendiri. Mengapa parti-parti itu dijatuhkan oleh pemimpin sendiri? jawapannya, pucuk pimpinan yang ada kuasa lupa diri, sehingga pemimpin yang mahu mendapatkan kuasa memanfaatkan suara rakyat yang tertindas,

Di Sabah kini, selepas Umno memerintah sejak tahun 1994 dengan bantuan serpihan parti-parti yang memerintah sebelumnya, kemudian, semua parti bergabung, sehingga BN Sabah yang ditunjangi Umno menjadi simpanan tetap Bn setiap pilihanraya. Walaupun, kelihatannya Bn cukup stabil, namun perkara lama berlaku, bahawa ada pemimpin mengulangi cara apa yang pernah dilakukan pemimpin terdahulu. Mula melupakan siapa pejuang asal, sebaliknya memberi keutamaan kepada mereka yang merupakan peniaga politik.

Peniaga politik adalah mereka yang memberi sokongan kerana hanya memerlukan sokongan ekonomi. Mereka ini akan berpaling tadah, jika sekiranya melihat ada pemimpin yang mereka fikir akan mendapat sokongan. Atas sebab itu, dalam kerajaan Bn sekarang, mereka yang ditentang sebelum Bn mengambil alih kerajaan, kini mereka juga merupakan tulang belakang kerajaan.

Bukan sahaja mereka yang berjawatan politik, akan tetapi juga pegawai-pegawai kerajaan yang dahulunya pelaksana kepada penindasan kaum-kaum tertentu, terutama rakyat yang beragama islam, kini merupakan pembuat kebijakan dalam kerajaan BN yang ditunjangi Umno.

Mereka yang berjuang menentang PBS, bukan sahaja berkorban masa, tenaga, kewangan, malah darah. Namun, mereka itu kebanyakannya, tidak tersenarai sebagai pembuat kebijakan, malah terlupakan langsung. Bagi mereka yang terlibat menjatuhkan PBS yang bermula tahun 1989, kini, dianggap sebagai “hantu politik" bukan sahaja diketepikan, malah ditakuti untuk didekati, bukan kerana mengancam kedudukan, akan tetapi takut mereka-mereka ini mohon perhatian.

Keadaan politik Sabah kini, agak berbeza. Atas sebab apa? jika selama 30 tahun, setiap 9 tahun akan berlaku pertukaran kerajaan, namun selepas sahaja Umno menjadi tulang belakang (Umno masuk atas jemputan Usno, kemudian Usno dibubarkan) tidak lagi berlaku penggantian kerajaan, walaupun berlakunya pergantian Ketua Menteri setiap dua tahun, dan berakhir pada tahun 2004.

Memandangkan keadaan itu, isu yang membolehkan pergantian kerajaan sukar berlaku kerana tiada lagi “god father" sepertimana berlaku sebelum ini, maka penekanan kepada asas pembentukan Malaysia, diangkat sebagai asas menukar persepsi rakyat.

Membangkitkan asas pembentukan negara, seperti perakara 20 serta kandungannya, difikirkan akan merangsang minda rakyat yang sudah celik; membandingkan apa yang terkandung dalam perkara itu dengan fakta lapangan, sehingga timbul istilah ADA YANG MUNGKIR JANJI.

Nampaknya isu pembentukan Malaysia akan diangkat menjadi isu utama bermula daripada sekarang hingga pilihanraya ke-14. Masing-masing pihak samada kerajaan yang memerintah mahupun pembangkang, melihat tiada isu utama yang perlu dijual kepada rakyat melainkan isu yang terkandung dalam perkara 20.

Rakyat kini sudah celik, sudah mampu mendapat maklumat, sudah nampak perbezaan, sudah nampak derap pembangunan antara Malaya dan Sabah. Rakyat sudah tahu, bahawa emas hitam hasil yang dikorek di negeri ini, bukan untuk negeri ini, akan tetapi perlu dikongsi oleh semua orang. Rakyat tahu, bahawa hasil yang berpunca daripada tanah utara borneo ini perlu dikongsikan dengan penduduk lain, tetapi yang paling malang, kebanyakan hasil itu bukan milik penduduk negeri, melainkan rakyat daripada negeri2 lain.

Isu seumpama ini akan menghantui pemikiran pemimpin, walaupun pada masa ini cuba dikaunter dengan berbagai alasan, namun hakekatnya, saban hari, isu-isu yang dibangkitkan semakin melekat dihati rakyat.

Terlihat, sejak akhir-akhir ini, bagaimana pemimpin seperti Datuk Salleh mengangat isu ini. Seolah-olah berlaku ketimpangan. OKB tidak ingat masa dan tarikhnya, namun Timbalan Pengerusi Umno Sabah itu pernah berkata, semasa dikunjungi oleh Barisan pemuda Umno Sabah yang diketuai Hafiz Musa, bahawa pemuda perlu menjaga dan memperjuangkan kepentingan Sabah dalam negara. Jika diperhalusi kenyataan itu, apa yang mahu diperjuangkan lagi? dan apa yang dipertahankan? sedangkan Sabah diperintah oleh sebuah Parti yang menjadi tunjang belakang kepada Kerajaan Persekutuan.

Nampaknya Salleh terbaca perasaaan rakyat Sabah menjelang PRU-14 atau PRU-15, bahawa pada masa itu, isu pembangunan atau sebarang pembelaan berbentuk wang ringgit, tidak akan dapat menawan hati rakyat; sebaliknya isu seperti yang terkandung dalam Perkara 20, akan menjadi pertimbangan utama. Untuk itu, agar Umno atau Bn masih lagi pilihan rakyat, maka pemimpinnya perlu menjuarainya, jika tidak, maka alamat ditumbangkan rakyat akan menjadi kenyataan.

Para pemimpin Bn Sabah menyedari, walaupun bukan semuanya, bahawa untuk mengaharapkan sokongan rakyat, Bn termasuk pemimpinnya perlu menyesuaikan diri dengan harapan rakyat. Jika tidak, pihak lain akan menjuarainya.

Nampaknya, kematangan politik pemimpin Sabah telah mengambil iktibar kepada kepimpinan Sarawak. Sejak merdeka, kepimpinan Sarawak tidak dapat ditembusi dalang dan peniaga politik. Atas sebab itu, kepimpinan negeri itu hingga kini bersifat autonomi. Mereka memutuskan siapa pemimpin mereka. Berlainan dengan Sabah, yang terpaksa menagih simpati, kerana tiadanya autonomi itu.

Sebenarnya, kehilangan autonominya pemimpin Sabah, atas sebab ada pemimpin yang mampu dipengaruhi atau dimanipulasi dalang dalam politik; ini terbukti, apabila Sabah sejak merdeka berlaku 4 kali pertukaran kerajaan.

Namun, politik Sabah kini tidak sama lagi dengan keadaan politik 40 tahun lalu. Generasi muda pasca merdeka, tidak lagi berfikiran seperti yang difikirkan oleh ibu bapa mereka; mereka berfikir tentang sesuatu yang telah hilang, mereka memikirkan tentang hak mereka yang telah hilang. Perkara utama sandaran mereka adalah melalui Perkara 20. Mereka meneliti apa yang terkandung dalam perkara 20 itu, walaupun ianya bukan suatu perjanjian, akan tetapi sebagai terma rujukan, namun mereka berfikir itulah asas kepada pembentukan negara.

Dihantar Oleh : Musramrakunman

Loading...
scroll to top