Monyet ‘bangkatan’ kecohkan Dewan Rakyat

Bung-Moktar-Radin.jpg

Datuk Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat gamat seketika apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengatakan di kawasannya ada spesies monyet dikenali monyet bangkatan atau proboscis monkey yang berebut monyet betina dengan bapanya sendiri.

“Di kawasan saya ada spesies monyet sangat cantik, berhidung mancung dikenali proboscis monkey yang hidup dalam kelompok tidak boleh lebih 40 ekor.

“Hanya seekor monyet jantan dalam kelompok itu dan jika ada anak monyet jantan lahir akan berebut monyet betina dengan bapanya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diberi kebenaran mencelah oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bung Moktar berkata, beliau turut hairan kerana ramai saintis dari Jepun dan negara luar membuat penyelidikan mengenai monyet bangkatan dan sepatutnya turut disertai penyelidik tempatan untuk mengetahui rahsia dan keistimewaan haiwan itu.

Terdahulu ketika membahaskan rang undang-undang itu, beliau turut menyuarakan kebimbangannya alam sekitar akan musnah akibat kerasukan manusia memusnahkan alam sehingga lapisan ozon dilaporlan semakin nipis.

Sementara itu, Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja) mahu kementerian itu membantu menangkap monyet di kawasannya kerana peningkatan populasi monyet di kawasan itu menganggu ketenteraman penduduk.

“Bila dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), mereka kata hanya boleh bertindak apabila monyet ada… jadi penduduk kena tunggu monyet datang barulah lapor, sepatutnya mereka boleh bertindak awal,” katanya.

Loading...
scroll to top