Naib Presiden WARISAN dijemput ke Yayasan Sabah

Naib-Presiden-WARISAN-dijemput-ke-Yayasan-Sabah.png

ADUN Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong (Kiri Sekali)

KOTA KINABALU: Seorang lagi Naib Presiden Parti Warisan Sabah iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong dijemput ke Yayasan Sabah untuk mendapatkan taklimat daripada pegawai kanan tentang perjalanan organisasi berkenaan.

Ia berikutan dakwaan kononnya Yayasan Sabah kini muflis dan tenat adalah sama sekali tidak benar disebabkan kurang pemahaman tentang hal berkenaan tetapi tidak mahu bertanya.

Laporan BERNAMA menyatakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata dakwaan Jaujan adalah bohong, sama sekali tidak benar dan jelas telah mengelirukan sidang Dewan Undangan Negeri.

“Saya perlu menjernihkan keadaan dan membetulkan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar. Yayasan Sabah mempunyai aset bernilai RM14 bilion dan wang tunai yang melebihi RM420 juta. Yayasan Sabah juga memberi berjuta-juta dalam bentuk biasiswa tahunan.

“Bagaimana Yayasan Sabah dapat melakukan ini dan semua projek serta program-program lain jika Yayasan Sabah berada dalam keadaan kritikal?,” katanya ketika membidas kenyataan Jaujan pada sesi perbahasan persidangan DUN di sini hari ini.

Terdahulu, Jaujan (Warisan-Sulabayan) ketika membahas ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah mendakwa terdapat anak syarikat Yayasan Sabah mengalami kerugian dan mendakwa Yayasan Sabah kini dalam keadaan tenat.

Musa menjelaskan bahawa mana-mana organisasi yang mempunyai banyak anak syarikat, memang tidak dinafikan ada antara syarikat yang mengalami kerugian.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna keseluruhan organisasi entiti perniagaan tersebut muflis atau berada dalam keadaan kritikal, katanya.

“Kenyataan (ADUN Sulabayan) seperti ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga menunjukkan kurang pemahaman tentang perjalanan organisasi seumpama itu.

“Jika ADUN Sulabayan tidak jelas tentang apa yang sedang berlaku, beliau amat dialu-alukan ke Yayasan Sabah dan mendapatkan taklimat daripada pegawai kanan di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Musa turut menyifatkan kenyataan Jaujan itu sebagai paling tidak adil kepada kakitangan dan pengurusan Yayasan Sabah yang selama ini telah bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, dakwaan seumpama itu juga adalah tidak bagus kerana menjejas semangat para pelajar tajaan biasiswa Yayasan Sabah termasuk mereka yang berada di luar negara selain menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mereka.

TERDAHULU: Wakil rakyat WARISAN Disekolahkan

Loading...
scroll to top