Orang Rungus calon bukan Islam pertama PAS Sabah

KOTA KINABALU: Seorang petani dari Pitas menjadi calon bukan Islam pertama mewakili PAS Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Satail Mojungkat, 61, daripada suku kaum Rungus adalah antara 26 calon PAS Sabah, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di Parlimen Kota Belud.

“Saya sudah menjadi ahli PAS Sabah sejak lapan tahun lalu. Saya menyertai PAS kerana tertarik dengan kepemimpinan parti ini yang berbeza daripada parti lain.

“Walaupun PAS adalah parti Islam, tetapi tidak pernah ada sikap perkauman. Walaupun ini adalah pertama kali saya bertanding, tetapi saya akan pejuangkan ekonomi rakyat,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon PAS Sabah untuk PRU-14, di sini hari ini.

Pengumuman calon disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagi calon wanita PAS di Parlimen Batu Sapi dan DUN Karamunting, Norsah Bongsu, 47, berkata ini adalah pertama kali beliau bertanding dalam pilihan raya.

“Saya menerima cabaran ini sebagai amanah kerana kami dipilih oleh akar umbi. Saya akan sampaikan manifesto PAS kepada rakyat dan berdakwa agar rakyat lebih faham parti ini,” katanya yang bekerja sendiri.

Sementara itu bagi Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling, 56, yang bertanding dI Parlimen Tuaran berkata, kali ini PAS bertanding tanpa ada pakatan dengan mana-mana parti.

“Namun, dengan semua jentera yang kita ada dan sokongan daripada rakyat, kita yakin boleh menang beberapa kerusi,” katanya sambil menambah gabungan muka baharu itu mampu membawa kepada kejayaan parti berkenaan. – BHARIAN

Loading...

Leave a Reply

arrow