Parti Cinta Sabah Keluar Dari Gabungan Sabah

Wilfred-Bumburing.jpg

Wilfred Bumburing

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) hari ini mengumumkan menarik diri daripada Gabungan Sabah (USA) iaitu pakatan parti pembangkang tempatan Sabah bagi berdepan pilihan raya akan datang.

Presidennya, Datuk Wilfred Bumburing, berkata keputusan dibuat Majlis Tertinggi parti berkenaan selepas mendapati parti yang bergabung dalam USA tidak bersatu melakukan perubahan dengan sebahagiannya hanya mahu menjalin kerjasama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“PCS memutuskan kami tidak dapat mencapai kerjasama yang dimaksudkan dengan parti lain kerana tiada perpaduan dalam gabungan ini.

“Selepas dibincangkan, kami membuat keputusan bahawa langkah terbaik bagi PCS, ahli parti dan rakyat Sabah yang mahu melihat perubahan ialah PCS berdiri sendiri dan dengan itu keluar dari USA,” katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Berikutan itu, USA kini hanya disertai Pakatan Harapan Sabah (Harapan) pimpinan Datuk Lajim Ukin; Star Sabah (Datuk Dr Jeffrey Kitingan) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang diketuai Datuk Yong Teck Lee.

Bumburing berkata, PCS sebelum ini berharap sebuah gabungan parti pembangkang yang hebat dapat dibentuk di negeri ini yang turut disertai Parti Warisan Sabah (Warisan), Pakatan Harapan Sabah (Harapan) dan parti lain dalam USA. Katanya, merumitkan lagi keadaan apabila ada pemimpin pembangkang dari luar USA tidak mahu berbincang dengan pemimpin parti dalam USA dan begitu juga sebaliknya.

“Satu-satunya cara untuk menjatuhkan BN di peringkat negeri dan nasional ialah dengan mewujudkan sebuah pakatan pembangkang yang bersatu,” katanya. – BH ONLINE

Loading...
scroll to top