PAS Letak Syarat Kerjasama dengan Pembangkang Sabah

pas-letak-syarat-kerjasama-pembangkang-sabah.jpg

Pembangkang Sabah

TAWAU: PAS meletakkan syarat untuk bekerjasama dengan parti pembangkang Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang di negeri ini, namun parti terbabit perlu menerima syarat yang ditetapkan PAS.

“Kita bersedia (bekerjasama), tapi ada syarat. Kita boleh (bekerjasama) dan memang pun dasar kita sendiri yang dikenali sebagai ‘taawun’ atau kerjasama menjadi amalan.

Dalam agama pun tidak dilarang, tapi ada syaratnya. “Jika parti lain bersedia menerima syarat kita, PAS boleh bekerjasama dan kita pernah buat, malah dengan Barisan Nasional (BN) tetapi oleh kerana syarat utama mereka tolak, DAP pun tolak, jadi kita tidak boleh terima, kita tak mahu mungkir janji,” katanya kepada pemberita pada Konvensyen PAS Sabah Kali Kelima di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya PAS bersedia membuka pintu rundingan untuk menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang berpangkalan di negeri ini, selain bersedia mendengar serta bertolak ansur dalam perkara tertentu.

“Saya pun baru sekejap tadi ada bercakap dengan ‘seorang yang terpenting’ dalam sebuah parti yang ada di Malaysia ini.

Maknanya, kita terbuka dan selepas ini mungkin ada lagi pertemuan atau perbincangan di peringkat  tertentu, terutama oleh presiden parti,” katanya.

Sementara itu, Hashim berkata PAS masih membuat penilaian berhubung calon parti itu dan jumlah kerusi yang akan ditandinginya di Sabah pada PRN atau PRU akan datang.

Katanya, terpulang kepada PAS negeri untuk mencadangkan kawasan yang dirasakan sesuai bagi meletakkan calon.

Konvensyen PAS Sabah Kali Kelima yang dirasmikan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin di Tawau, hari ini. – Foto Abdul Rahemang Taiming

Loading...
scroll to top