PBS kemuka gandingan muka baharu, lama pada PRU-14

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) bakal mengemukakan beberapa muka baharu dalam senarai calon yang akan bertanding mewakili parti itu dalam Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun depan.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata senarai akhir akan diputuskan kepimpinan tertinggi parti menerusi beberapa perbincangan bersama Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Kita cuba sebanyak yang mungkin (calon muka baharu) tetapi pada masa yang sama kita juga masih memerlukan orang berpengalaman di peringkat akar umbi,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Krismas PBS di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Pairin; Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Teo Chee Kang; Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Malleh dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Johnny Mositun.

Maximus yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata kepimpinan parti itu mahu melihat pembabitan lebih ramai orang muda dalam parti sebagai langkah pembaharuan selain mengekalkan orang lama yang berpengalaman seperti Pairin.

Mengenai kedudukan Pairin yang sebelum ini menyuarakan pendiriannya untuk tidak bertanding pada PRU-14, Maximus berkata, pihaknya masih berbincang sama ada menerima keputusan itu atau sebaliknya.

“Kita akan terus berbincang berkaitan perkara ini tetapi sudah tentu dia (Pairin) yang akan buat keputusan akhir. Dia pernah kata cukuplah dan dia mahu buat perkara lain, meluangkan masa dengan anak-anak, berbanding lima tahun lagi bersama rakyat (berpolitik).

“Namun, walaupun bukan lagi dalam politik dia juga akan terus bersama rakyat, seperti dalam KDCA. Dia sudah cakap 99 peratus tidak akan bertanding,” katanya.

Sementara itu, Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata baki satu peratus daripada 99 peratus berhubung hasratnya untuk tidak bertanding semula digunakan untuk mendengar nasihat kepimpinan parti.

Beliau turut menyuarakan harapannya agar calon yang disenaraikan parti itu dan BN keseluruhannya pada PRU-14 diterima rakyat sekali gus memastikan BN memenangi pilihan raya berkenaan.

Pada PRU lalu, PBS bertanding di 13 kerusi DUN dan menang di tujuh kerusi iaitu Tambunan, Tanjung Aru, Melalap, Kiulu, Kundasang, Labuk dan Tandek, manakala kalah di enam kerusi iaitu Api-Api, Inanam, Tamparuli, Kadamaian, Matunggong dan Sri Tanjong.

Bagi kerusi Parlimen, parti itu bertanding di lima kerusi dan menang di Keningau, Kota Marudu, Batu Sapi dan Tawau, manakala kalah di kerusi Kota Kinabalu.

Loading...

Join the Discussion

Your email address will not be published. Required fields are marked *

arrow