PBS mahu 13 kerusi tambahan DUN Sabah diagihkan dengan saksama

Parti-Bersatu-Sabah-PBS.jpg

Parti Bersatu Sabah (PBS)

KENINGAU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu 13 kerusi tambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diagih-agihkan dengan saksama kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Pemuda PBS Pusat Datuk Jake Jikulin Nointin berkata, langkah mengagih- agihkannya dengan saksama kepada parti-parti komponen adalah wajar bagi merealisasikan konsep perkongsian kuasa dalam BN.

“Kita hormat Umno, abang kita dalam komponen BN yang kini mempunyai 32 kerusi DUN dan jika perlu ditambah kerusi lagi kita tidak bantah tetapi agihan kepada parti-parti komponen yang lain termasuk PBS juga perlu diambil kira. Bagi parti yang sudah banyak kerusi biarlah tambahannya sedikit dan beri keutamaan kepada parti yang masih kurang kerusi” katanya kepada media ketika temui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Majlis Daerah di sini pada Selasa.

Jake yang juga Ketua Bahagian PBS Liawan berkata, agihan kerusi yang saksama bukan sahaja merealisasikan konsep perkongsian kuasa dalam BN tetapi ia dapat meyakinkan ahli-ahli parti komponen yang lain agar terus memberi sokongan kepada BN.

Mengulas tambahan 13 kerusi sebagai tambahan kepada 60 kerusi DUN Sabah yang sedia ada, Jake berkata, pedalaman seharusnya diberi keutamaan walaupun cadangan asal penambahan kerusi ini diutamakan di kawasan pantai timur dan barat di negeri ini.

Ini katanya, kerana kawasan pedalaman juga merupakan kawasan yang masih memerlukan pembangunan infrastruktur yang luas.

Katanya, tambahan lagi kawasan DUN yang diwakili oleh wakil rakyat adalah terlalu luas dan sukar dibangunkan atau dijaga oleh seorang wakil rakyat.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Pertubuhan Pasok Momogon KadazanDusun Murut (UPKO) Kenndy Datuk John berkata, langkah mewujudkan 13 kerusi DUN baharu itu amat bertepatan.

Katanya, sebelum ini pun memang sebagai rakan dalam Komponen BN, Upko telah mengemukakan cadangan tambahan kerusi yang mengambil kira kawasan KDM termasuk kawasan suku Lundayeh yang perlu diambil perhatian untuk diberikan kerusi.

“Kita berharap agihan kerusi tambahan berkenaan diagih-agihkan mengikut kesesuaian agar ia memberi manfaat kepada semua parti komponen” katanya.

Kennedy yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan Bingkor berkata, langkah itu wajar berlandaskan konsep perkongsian kuasa dalam BN.

Loading...
scroll to top