PBS Minat Tanding 6 Kerusi Baharu

PBS-Minat-Tanding-6-Kerusi-Baharu.jpg

PBS Minat Tanding 6 Kerusi Baharu

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan minat untuk bertanding di enam daripada 13 kerusi tambahan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata senarai kerusi itu akan dikemukakan kepada kepemimpinan Barisan Nasional (BN) selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai melaksanakan proses persempadanan.

 Selain kawasan majoriti Kadazandusun, katanya, parti itu layak memohon untuk bertanding di kawasan campuran Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam serta bukan Bumiputera kerana ia adalah parti berbilang kaum.

“Kalau diikutkan PBS layak bertanding di semua 13 kerusi baharu itu tetapi kita bersikap rasional dan menghormati permintaan parti komponen lain serta menerima apa saja keputusan pucuk pimpinan BN.

“Permintaan kita adalah berdasarkan kedudukan PBS di kawasan kita minta seperti Telupid sebelum ini adalah sebahagian daripada DUN Labuk yang menjadi kubu kuat PBS, selain adanya pemimpin boleh menang di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS sempena Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-31 parti itu, di sini, hari ini.

BACA JUGA: Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS Kali ke-31

Yang turut hadir, Ketua Pemuda PBS, Datuk Jake Nointin dan Ketua Wanita PBS, Datuk Anita Baranting.

Selain Telupid, antara kerusi baharu yang diintai PBS ialah Dambai di Papar dan Manggaris di Kota Marudu.

Maximus yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata parti itu juga mahu mempertahankan kerusi sedia ada termasuk yang ia tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top