Pembangkang di Malaysia ‘Unik’ Tidak Setuju Dalam Semua Isu

Apa yang berlaku kepada parti-parti pembangkang seminggu dua ini memperkukuhkan keyakinan banyak orang bahawa sesungguhnya parti pembangkang di Malaysia adalah unik dan luar biasa.

Tiada siapa menyangka bahawa ada ketikanya parti pembangkang di Malaysia semacam ghairah untuk memusnahkan pakatan yang mereka sendiri bina.

Isunya adalah tentang siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri (PM)!

Mereka tidak sependapat mengenai siapa yang sepatutnya layak menjadi PM.

Parti PKR, menerusi Kongres tahunan mereka dengan tegas mengeluarkan kenyataan mereka mahu Anwar diberikan kerusi tersebut.

Sekutu mereka, iaitu PPBM mahukan Muhyiddin Yassin.

DAP hanya mendiamkan diri.

Tetapi salah seorang pemimpin yang baru menyertai parti DAP, iaitu Zahid Ibrahim dan penasihat PAN, iaitu Husam Musa mahu Tun Mahathir dilantik sebagai PM.

Untuk menguatkan hujah mereka, ada seorang pemimpin PKR mengeluarkan kenyataan kononnya hasil  kajian yang dilakukan menerusi survei atau tinjauan pendapat umum.

Mengikut Tun Dr Mahathir Mohamad, kajian yang bersifat ‘syok sendiri’ tersebut tidak boleh dipercayai selagi PRU-14 belum diadakan .

Di negara demokrasi maju, perselisihan pendapat sesama parti komponen lazimnya diselesaikan menerusi rundingan dan negosiasi dalaman. Jarang-jarang isu yang sebegini penting hanya dibahaskan pada peringkat dalaman dan tidak didedahkan kepada umum. Tetapi di Malaysia parti-parti pembangkang agak unik dan luar biasa. Lihat sahaja bilangan parti yang terdapat di negara kita.

Bagi pengundi Melayu sahaja, misalnya mereka diwakili oleh empat parti pembangkang, iaitu PAS, PKR, PAN dan PPBM.

Boleh dikatakan hampir setiap parti mempunyai calon mereka sendiri untuk untuk ditonjolkan sebagai calon PM. Anwar Ibrahim, Tun Mahathir, Muhyyidin Yassin, Dr Wan Azizah dan Hadi Awang merupakan antara nama yang sering disebut sebagai bakal calon PM oleh parti masing-masing.

Terlalu ramai calon dan terlalu banyak parti kadangkala menimbulkan masalah tersendiri. Masalah yang dialami oleh gabungan parti pembangkang pada minggu lalu sebenarnya sedikit banyak memberi gambaran tentang masalah utama di Malaysia, iaitu ketiadaan persetujuan dalam semua perkara.

Kerana tidak bersetujulah maka kita dapat dilihat terlalu banyak parti yang ditubuhkan untuk mendapat undi daripada kaum yang sama. Isu PM melibatkan hubungan antara parti dan mereka tidak mendapat dapat persetujuan.

Ada masa tertentu, antara sesama parti sendiri pun mereka tidak boleh mencapai persetujuan. Lihat misalnya, isu kemudahan AP untuk membeli kereta mewah yang melibatkan Ketua Wanita PKR yang juga ahli parlimen Ampang, iaitu Zuraidah Kamaruddin dan Naib Presiden PKR, iaitu Rafizi Ramli.

Mengikut Zuraidah Kamaruddin, ‘bodohlah kalau tidak menggunakan AP yang diperuntukkan kepada ahli parlimen untuk membeli kereta import’. Kenyataan tersebut dibalas oleh Rafizi dengan menyatakan ‘sayalah ahli parlimen yang bodoh itu kerana tidak menggunakan kemudahan AP untuk membeli kereta import’.

Dalam situasi kos hidup yang semakin menggila, keadaan ekonomi semakin tidak menentu, masyarakat mengharapkan parti-parti pembangkang dapat mengemukakan jalan keluar dan menetapkan halatuju baharu untuk masa hadapan.

Namun begitu, kekalutan yang ditunjukkan oleh parti-parti pembangkang dalam soal memilih siapa bakal PM  dan mengutamakan cara hidup mewah seperti dalam kes Zuraidah Kamaruddin sedikit banyak mendedahkan kepada rakyat mengenai keutamaan parti-parti pembangkang.

Bukan aspirasi rakyat yang diketengahkan, sebaliknya agenda parti masingmasing diutamakan. Hanya rakyat yang terhegeh-hegeh mengharapkan parti pembangkang memikirkan masalah negara.

Hakikat sebenarnya adalah bertentangan sama sekali. Hubungan antara parti pembangkang dan dalaman parti pembangkang di Malaysia sememangnya unik dan luar biasa.

Semua parti dan pemimpin yang terlibat nampaknya masing-masing mempunyai hujah dan tidak mahu mengalah.

Loading...

Join the Discussion

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Discussion

  1. Alias bin Andeng

    Pembangkang di Malaysia bukan sahaja unik malah hipokrit. Mereka masing-masing mempunyai hujah sendiri dan tidak mahu mengalah dalam semua perkara apatah lagi jika sesuatu perkara itu melibatkan kerajaan yang memerintah walaupun ianya berkait dengan kepentingan rakyat. Akibat dari itu timbul pendapat dikalangan rakyat terbanyak bahawa politik di Malaysia akan lebih stabil, maju dan harmoni tanpa penyertaan parti-parti pembangkang.

arrow