Pembangkang Tak Berani Hapuskan GST

Pembangkang-Tak-Berani-Hapuskan-GST.jpg

GST

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pembangkang tidak berani menghapuskan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana menyedari manfaatnya kepada negara.   Perdana Menteri berkata, keputusan itu membuatkan pembangkang mempunyai pilihan untuk meningkatkan kadar cukai itu di masa hadapan.

Beliau berkata, pembangkang akan meneruskan GST dan menjadikan rejim percukaian itu ‘alat’ untuk memperdaya rakyat demi memenangi pilihan raya.

“Pembangkang tahu GST menggantikan penurunan hasil minyak. Jadi, apabila mereka membuat pusingan U untuk mengekalkan GST, penyokong mereka rasa terpedaya.

Mengapa tidak berani hapuskan terus sistem ini (GST) secara keseluruhannya?

“Jadi, mereka tergesa-gesa ingin menurunkan kadar enam peratus kepada kosong. Tindakan ini tidak masuk akal kerana apa guna adanya sistem yang canggih ini kalau tiada cukai yang dikutip.

“Realitinya, sejak tahun 2015, hasil tahunan negara telah jatuh sebanyak RM40 bilion berikutan kejatuhan harga minyak. Mujurlah sistem GST diperkenalkan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST),” katanya dalam catatan mengenai pusingan U pembangkang berkenaan GST di laman blog www.najibrazak.com, hari ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, tanpa jumlah berkenaan dalam bajet tahunan, kerajaan tidak mampu membayar gaji penjawat awam, menyediakan sekolah, hospital baharu dan membiayai anggota keselamatan negara.

Walaupun dulu ada cukai, katanya, ia tidak didedahkan oleh sebilangan peniaga sehingga mereka menetapkan kadar sesuka hati sambil menegaskan pelaksanaan sistem GST dimaklumkan kepada pengguna dengan jelas pada kadar enam peratus.

Katanya, sistem GST lebih sistematik dan digunakan di lebih 140 negara.

Kecekapan GST meningkatkan perolehan dan membolehkan perkhidmatan awam diteruskan dan memastikan ekonomi tidak ranap akibat kejatuhan harga minyak.

“Percayalah…sekiranya pembangkang memerintah, mereka sebenarnya ingin memberhentikan separuh daripada penjawat awam, guru, doktor, anggota keselamatan, pembinaan sekolah, masjid, jalan raya, hospital, perkhidmatan kesihatan serta perkhidmatan asas awam,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Loading...
scroll to top