Penduduk dan Pengundi Semporna Semakin Faham

Penduduk-dan-Pengundi-Semporna-Semakin-Faham.jpg

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Tun Sakaran (dua, kiri) menyerahkan bendera Barisan Nasional kepada seorang Ketua Cawangan UMNO di Semporna sebagai simbolik kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14

SEMPORNA – Penduduk dan pengundi Semporna semakin memahami dan menerima penjelasan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhubung isu semasa termasuk kedudukan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tidak lagi bersama UMNO.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata maklum balas yang diterima daripada lebih separuh penduduk di 16 zon bahagian itu, yang sudah dijelajahi melalui siri Program Jelaja Rakyat anjuran UMNO, semakin baik.

“Alhamdulillah, dilihat daripada respons dan penerimaan selepas kita membuat penjelasan, kekeliruan itu sudah tidak timbul lagi. Pada peringkat awal (isu Shafie) ini, memang ada kekeliruan.

“Ini kerana ada kalangan mereka berpendapat bahawa Shafie dianiaya dan dijadikan mangsa UMNO. Pada hal, dia sendiri yang keluar meninggalkan UMNO,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jelajah Rakyat Zon PDM Kabogan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, UMNO Semporna perlu lebih aktif menjelaskan isu-isu semasa berkenaan parti dan pembangunan bagi mengelak rakyat keliru kerana menerima maklumat diputarbelitkan sehingga membuat keputusan salah dalam memilih kerajaan.

Menurutnya UMNO Semporna perlu membuat penjelasan itu kerana tidak mahu dianggap menyembunyikan sesuatu sehingga enggan berdepan rakyat untuk menjelaskan isu yang timbul.

Dalam pada itu, Nasir berkata siri jelajah itu akan diteruskan untuk menjelas isu politik serta sumbangan UMNO dan BN kepada penduduk Semporna sejak parti itu bertapak di Sabah lebih 25 tahun lepas.

Katanya pembangunan di Semporna semakin meluas terutamanya daripada aspek kemudahan asas termasuk perhubungan jalan raya hasil sumbangan UMNO dan kerajaan.

“Kebanyakan jalan di Semporna termasuk jalan-jalan kampung, sudah bertar atau berturap berbanding dahulu dan perubahan berkenaan telah memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada kehidupan harian penduduk Semporna,” katanya.

Sambil mengakui terdapat beberapa kekurangan yang perlu diatasi termasuk masalah bekalan air bersih dan bantuan perumahan rakyat namun Nasir berkata UMNO dan BN Semporna akan membawa perkara itu kepada perhatian pucuk pimpinan parti dan kerajaan.

Beliau berkata apabila loji bekalan air di Kelumpang siap dalam tempoh setahun, keseluruhan daerah Semporna termasuk Pulau Bum-Bum akan menerima bekalan air.

–BERNAMA

Loading...
scroll to top