Pengikut Parti Cinta Sabah Diharap Sertai STAR

Pengikut-Parti-Cinta-Sabah-Diharap-Sertai-STAR.png

Timbalan Presiden STAR, Edward Linggu

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) merasakan sudah tiba masa untuk pemimpin dan ahli-ahli Parti Cinta Sabah (PCS) memikirkan semula halatuju politik mereka dan menimbangkan untuk berpindah ke Parti STAR.

Timbalan Presiden STAR, Edward Linggu, berkata kedudukan Parti Cinta Sabah (PCS) ketika ini tidak stabil selepas keluar daripada Gabungan Sabah (USA).

“PCS menarik diri daripada gabungan Sabah untuk memulakan pembentukan satu gabungan besar parti politik di Sabah dan Malaya.

Sejak Warisan tidak berminat untuk bekerja dengan PCS, gabungan parti dari semenanjung iaitu Pakatan Harapan Sabah (PH) yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara (Amanah) mungkin tidak dapat bekerjasama dengan PCS  tanpa kelulusan Warisan kerana Warisan merupakan rakan kongsi utama bagi PH di Sabah.

Baca juga: Pakatan Harapan Sabah Tanding PRU-14 di Sabah

Sekalipun ia bergabung dengan parti berkenaan namun beberapa isu sosio-politik yang merupakan asas perjuangan PCS tidak tidak akan memihak kepada parti itu ,” kata Linggu. “Isu-isu ini akan memaksa PCS untuk mengubah ideologi dan asal perjuangannya untuk hak-hak rakyat Sabah, terutama dalam isu pendatang tanpa izin.”

Beliau berkata STAR dan Gabungan Sabah merupakan  formula terbaik kerjasama di antara parti-parti pembangkang di Sabah untuk rakyat Sabah untuk menumbangkan Barisan Nasional dan mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang terdiri daripada parti tempatan Sabah.

Ketika ini PCS seperti terumbang-ambing dan akan mengambil masa untuk kembali stabil. “Oleh itu ahli-ahlinya perlu berfikir secara rasional untuk mempertimbangkan bersatu dengan STAR Sabah di bawah pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan, dan di Gabungan Sabah di bawah pimpinan Datuk Mohd Noor Mansor.”

Baca Juga: Parti Cinta Sabah Keluar Dari Gabungan Sabah

Linggu adalah bekas wakil rakyat untuk Tamparuli, yang mana penyandangnya pada ketika ini adalah Presiden PCS, Datuk Seri Panglima Wilfred M Bumburing yang menang atas tiket Parti Keadilan Rakyat pada pilihan raya umum lepas.

Loading...
scroll to top