Perpaduan Kekuatan Utama UMNO, BN Menang Pilihan Raya (PRU)

Pilihanraya-Sabah-Jentera-Puteri-UMNO.jpg

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bersama ahli Puteri UMNO selepas melancarkan Jentera Puteri UMNO Sabah di Dewan Sri Libaran, di Sandakan.

SANDAKAN: Kesatuan, kesepaduan, kesepakatan dan kerjasama dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah kekuatan penting yang membolehkan UMNO dan BN sentiasa mengekalkan kemenangan dalam setiap Pilihan Raya Umum (PRU).

Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Musa Aman, berkata rakyat Sabah adalah pengundi yang bijak dan akan memilih parti yang mampu menunaikan janji dan tidak menipu rakyat.

Katanya, UMNO dan BN mempunyai rekod yang baik dengan setiap program adalah menjurus kepada soal pembangunan rakyat dan berada pada landasan serta acuan benar untuk memajukan negara.

“Maka itulah pada setiap PRU, UMNO dan BN di Sabah menang besar, kerana adanya kesatuan, kesepaduan, kesepakatan dan kerjasama yang membolehkan kita bekerja untuk bangunkan negeri ini.

“Orang Sabah bijak, kita tahu mana buruk, mana yang baik, pandai mengenang budi… pemimpin baik, kami baik, pemimpin jahat, kami jahat… itu cara orang Sabah berfikir,” katanya berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Puteri UMNO Sabah di Dewan Sri Libaran di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin; Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyati Samsudin dan Ketua Puteri UMNO Sabah, Normala Rasik. Lebih 1,500 ahli Puteri UMNO dari 25 bahagian di Sabah berkumpul dalam program itu.

Musa berkata, selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, beliau mengakui kepentingan tiga sayap iaitu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk membantu mengekalkan kemenangan.

“Kita perlu terus bekerja, turun padang dan perkukuhkan perjuangan untuk berdepan cabaran pada PRU-14… jangan dengar hasutan pemimpin yang kecewa dan sudah tak berjawatan,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermiyati mengingatkan ahli Puteri agar menggunakan segala sistem penyampaian dan maklumat untuk menerangkan serta memperbetulkan apa juga isu kepada golongan muda agar tidak curiga terhadap UMNO.

Katanya, pergerakan Puteri UMNO juga perlu bekerja keras, mengetepikan ego dan protokol untuk mendekati golongan itu, sekali gus memastikan kejayaan BN pada PRU-14 nanti.

MUSA menyarungkan jaket untuk Normala Rasick (dua dari kiri) sambil diperhatikan Mas Ermiyati Samsudin (Kiri), Ketua Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia pada Pelancaran Jentera PUTERI UMNO Sabah di sini, hari ini

Loading...
scroll to top