Politik Sabah Perlu Berpaksikan Pembangunan, Ekonomi

Politik-Sabah-Perlu-Berpaksikan-Pembangunan-Ekonomi.jpg

Politik Sabah perlu berpaksikan pembangunan, ekonomi Ahmad Zahid Hamidi menerima borang kemasukan baru Umno daripada Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu, Datuk Wetrom @ Mohd Fikri Bahanda (kanan) selepas merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian di Dewan Komuniti Kota Marudu hari ini. - Foto Bernama

KOTA MARUDU – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan politik Sabah masih perlu berpaksikan pembangunan, ekonomi dan kestabilan bagi memastikan ia terus membangun dan makmur.

Beliau berkata ini kerana rakyat dan negeri ini masih dahagakan pembangunan, termasuk keperluan infrastruktur jalan raya yang baik seperti Lebuhraya Pan Borneo untuk keselesaan dan kemajuan taraf hidup rakyat.

“Pembangunan perlu disuntik ke negeri Sabah kerana rakyat masih dahagakan pembangunan dan insya-Allah kerajaan pusat dan negeri akan terus salur pembangunan agar rakyat (khususnya) di luar bandar merasakan nikmatnya,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga naib presiden Umno berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak persidangan cawangan-cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Kota Marudu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Katanya Sabah juga memerlukan politik berpaksikan ekonomi bagi memastikan rakyat mempunyai pendapatan per kapita setanding atau setaraf dengan penduduk negeri lain di seluruh negara selain meningkatkan lagi peluang-peluang pekerjaan di negeri ini.

Justeru katanya, Sabah memerlukan lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negara termasuk pelaburan asing langsung (FDI) bagi membangunkan potensi-potensi ekonomi yang cukup banyak di negeri ini termasuk industri pelancongan.

“Politik kestabilan. Kita mahu kestabilan politik di sesebuah negeri. Kita tidak sanggup berpecah-belah atau dipecahbelahkan. Dulu dalam parti, sekarang dah keluar, dulu cakap lain sekarang cakap lain, dulu ada kuasa tak buat,” kata Ahmad Zahid tanpa menyebut sebarang nama namun jelas merujuk kepada bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kini Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).

Katanya tiada negara di dunia ini akan maju tanpa kestabilan politik dan dalam konteks Malaysia, yang boleh memberikan kestabilan politik adalah Barisan Nasional (BN) serta parti-parti komponennya.

Ahmad Zahid berkata, melalui kestabilan politik berkenaan, Umno dan BN telah berjaya membawa pembangunan ekonomi kepada Sabah dan kesemua kemajuan dan kemakmuran berkenaan tidak lain adalah untuk rakyat Sabah sendiri.

“Siapa kata Sabah for somebody else’? Siapa kata Sabah untuk non-Sabahan. Sabah memang for Sabahan. Apa juga aktiviti, apa juga perancangan yang dibuat oleh kepimpinan negeri yang ada sekarang ‘is for Sabahans'”, tegasnya.

“Malah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sanggup memberikan ’empowerment’ (penurunan kuasa) di dalam banyak perkara, sama ada yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh bagi pembentukan Malaysia atau perkara-perkara di luar
daripada itu, adalah demi untuk rakyat Sabah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata bagi sebarang permintaan yang belum dilaksanakan, ia boleh dibincang melalui rundingan yang selama menjadi amalan kepimpinan kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah melalui semangat persaudaraan.

Sambil menafikan dakwaan kononnya “Sabah for Sabahan” tidak dilakukan, beliau menegaskan Najib dan menteri-menteri persekutuan dari Sabah memberi komitmen tinggi bagi memastikan apa juga perancangan untuk Sabah adalah untuk orang Sabah.

Timbalan perdana menteri berkata beliau sendiri memberi perhatian terhadap apa juga permintaan rakyat dan pemimpin persekutuan dari Sabah dan kepimpinan negeri yang munasabah.

“Dalam perjanjian penubuhan Malaysia, ada hak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. (Sebagai contoh) Hal pertahanan, peruntukan pendidikan dan soal keselamatan adalah hak persekutuan,” katanya. – Bernama

BACA JUGA: Visi Ketua Menteri Sabah Untuk Negeri

Loading...
scroll to top