Politik Sabah : Personaliti Atau Parti ?

Politik-Sabah-Musa-Aman-Shafie-Apdal.jpg

Shafie Apdal kini bersama Parti Warisan Sabah menjadi pembangkang di Sabah bercita-cita untuk menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah

Personaliti Masih Mempengaruhi Politik Sabah

Keputusan pemimpin-pemimpin tertentu untuk keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di Sabah, telah menyebabkan kedudukan pakatan pembangkang di negeri itu berada dalam keadaan goyah.

Dalam memastikan kelangsungan perjuangan politik seterusnya dan pada masa sama memikirkan pilihan raya umum (PRU 14) akan datang, ahli-ahli politik Sabah – antaranya termasuk bekas pemimpin PKR negeri yang juga ketua pembangkang Datuk Seri Lajim ukim – telah sama ada menubuhkan parti sendiri atau bekerjasama dengan parti-parti politik lain yang berpangkalan di negeri itu.

Hakikatnya, pemimpin-pemimpin tersebut mendapat ilham daripada kejayaan pilihan raya negeri Sarawak dan berharap bahawa tindakan mereka berpindah daripada parti di peringkat nasional kepada parti negeri akan membantu mereka mendapat sokongan yang amat diperlukan daripada orang ramai.

Pilihan raya negeri Sarawak pada 7 Mei lalu menunjukkan keputusan yang membuktikan bahawa parti tempatan mendapat majoriti besar melalui Barisan Nasional (BN) dengan memenangi 72 kerusi daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

Parti pembangkang peringkat nasional seperti DAP hanya berjaya mengekalkan tujuh daripada 12 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri pada 2011 dengan PKR mengekalkan ketiga-tiga kerusi mereka.

TIDAK DI SABAH

Namun persoalannya, adakah model sokongan politik Sarawak boleh diguna pakai di Sabah?

Penganalisis politik meragui bahawa model seumpama itu sesuai di Sabah, di mana pada pendapat mereka sebahagian besar politik di negeri berkenaan masih berdasarkan personaliti seseorang itu, bukan parti.

Felo Kanan Adjung di S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS) Nanyang Technological University, Singapura Dr Oh Ei Sun menjangkakan pemimpin-pemimpin yang meletak jawatan daripada PKR dan DAP baru-baru ini akan mengekalkan kerusi masing-masing pada PRU14, berdasarkan populariti masing-masing.

“Tetapi saya sangsi jika parti mereka akan mendapat sebarang pencapaian,” katanya dan menambah kata bahawa: “Mereka cuba untuk menjual kedua-duanya (parti tempatan dan personaliti), tetapi saya rasa akhirnya ia tetap berkaitan personaliti politik atau politik etnik yang benar-benar ditawarkan.”

Pada PRU13, parti-parti pembangkang di Sabah kalah teruk, dengan hanya satu parti iaitu State Reform Party (STAR) memenangi satu daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri. PKR dan DAP masing-masing memenangi tujuh dan empat kerusi, sekali gus membuktikan bahawa formula parti tempatan bukanlah kunci untuk menarik undi di Sabah.

Secara kebetulan, STAR pernah bertanding untuk merebut 47 kerusi peringkat negeri pada PRU13 dan memenangi kerusi Bingkor melalui presiden parti tersebut Datuk Jeffrey Kitingan, yang pada masa ini amat popular di kalangan rakyat.

Faktor personaliti yang didorong oleh politik “etnik” wujud di Sabah, penganalisis politik bebas negeri itu Kanul Gindol berkata: “Politik etnik aktif di Sabah seperti juga di seluruh negara dan saya boleh melihat bahawa ia akan memainkan peranan penting sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sudah pasti, trend sekarang adalah untuk memilih parti-parti tempatan, tetapi saya percaya kedua-dua parti iaitu PKR dan DAP akan terus berada di sini,” kata Kanul.

BUDAYA POLITIK YANG KUKUH

Namun, pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berpendapat bahawa personaliti yang kuat sahaja tidak akan menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

“Seseorang ahli politik itu perlu mempunyai asas politik yang kukuh,” katanya sambil memberi contoh Tun Datu Mustapha daripada Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Datuk Harris Salleh dari Berjaya dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dari Parti Bersatu Sabah sebagai pemimpin-pemimpin berjaya yang bukan sahaja berkarismatik malah mempunyai struktur parti yang kukuh.

Beliau berkata PKR dan DAP masing-masing memenangi tujuh dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU13 kerana sebahagian besarnya adalah disebabkan personaliti calon dan kekuatan parti.

Menyentuh mengenai bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal, yang membentuk sebuah parti pembangkang baharu yang berpangkalan di Sabah, Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) awal bulan ini, Sivamurugan berkata Shafie mempunyai personaliti tetapi beliau tidak mempunyai struktur parti yang kuat.

“Tambahan pula, pengaruh beliau hanya terhad kepada pantai timur Sabah. Shafie harus cuba untuk mewujudkan pakatan dengan ahli politik lain dengan mempunyai personaliti kuat seperti Lajim atau (Anggota Parlimen Penampang) Darell Leiking. Kubu kuat Lajim adalah di pantai barat Sabah manakala Darell berpengaruh di kalangan Kadazandusun,” katanya. – Dipetik dari BERNAMA

Baca Juga berita berkaitan :

Loading...
scroll to top