Projek di Jalan Ampang diluluskan Kabinet Sabah

Sukarti-Wakiman.jpg

Tan Sri Sukarti Wakiman, Setiausaha Kerajaan Negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menjelaskan projek pembangunan bercampur di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, adalah atas persetujuan Kabinet negeri dan bukannya persendirian.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman, berkata walaupun papan tanda projek terbabit menamakan ‘Ketua Menteri Sabah, Jabatan Ketua Menteri Sabah’ sebagai pemilik tanah, ia sebenarnya merujuk kepada jawatan dan bukan individu.

“Perjanjian penswastaan tanah milik kerajaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur untuk pelbagai projek pembangunan mula dilaksanakan pada 1997.

“Bagaimanapun, projek berkenaan tidak terlaksana dan tertangguh bertahun-tahun lamanya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pada tahun 2009, katanya, kerajaan negeri meminta pihak pemaju memberi taklimat berhubung keadaan dan status projek terbabit.

“Selepas kajian dijalankan, pihak kerajaan berpendapat projek itu tidak harus ditinggalkan dan tertangguh selama-lamanya, sebaliknya perlu disambung dengan terma dan syarat lebih baik.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menetapkan terma dan syarat lebih baik, terutama bagi mendapatkan pulangan bagi negeri ini,” katanya.

Sukarti berkata, cadangan itu dibentang dan diluluskan Kabinet negeri dengan Ketua Menteri sebagai ketua kerajaan menjadi pemegang amanah tanah berkenaan.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mempamerkan nama pemilik tanah pada papan tanda seperti mana tertera pada geran tanah.

“Oleh itu, tiada apa yang meragukan mengenai projek ini kerana ia dilakukan dengan persetujuan dan kelulusan Kabinet negeri,” katanya.

Semalam, Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Junz Wong, dan Ketua Pemuda, Datuk Aziz Jamman, meminta Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, memberi penjelasan berhubung pembangunan sebuah bangunan komersial di Ampang Hilir yang menyenarai Ketua Menteri Sabah sebagai pemilik tanah.

Loading...
scroll to top