PRU-14: PM, Ketua Menteri Tentukan Calon Kota Belud

PRU-14-PM-Ketua-Menteri-Tentukan-Calon-Kota-Belud-rahman-dahlan.jpg

Abdul Rahman Dahlan

KOTA BELUD: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyerahkan kepada kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menentukan calon kerusi Parlimen Kota Belud serta tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata kawasan itu mempunyai ramai pemimpin berkaliber yang layak untuk diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan terpulang kepada kepemimpinan parti untuk menentukannya.

Selain beliau, pemimpin UMNO Kota Belud yang layak diletakkan sebagai calon ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Musbah Jamli.

Abdul Rahman yang menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal, berkata beliau bersikap terbuka jika ada mana-mana pemimpin menawarkan diri untuk menjadi calon, sama ada kerusi Parlimen atau DUN.

“Di Kota Belud ini, kita ada masalah iaitu ramai pemimpin tetapi kerusi tak banyak… di sini kita juga ada Datuk Seri Salleh, Tan Sri Pandikar dan Datuk Musbah.

“Tetapi menjadi tradisi UMNO dan BN yang mana kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri untuk membuat pertimbangan.

“Pertimbangan dibuat berdasarkan beberapa kriteria seperti keupayaan dan trek rekod,” katanya selepas Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Masjid dan Surau serta Penyerahan Van Daerah Kota Belud di Masjid Pekan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pandikar Amin baru-baru ini yang mempertimbangkan untuk aktif semula dalam politik, termasuk menyatakan hasrat bertanding di kerusi DUN atau Parlimen di Sabah pada PRU-14.

Akhbar tempatan melaporkan Pandikar, 64, anak kelahiran Kota Belud, menyasarkan satu kerusi DUN baharu yang akan diwartakan dalam persempadanan semula.

Pada masa sama, beliau menyatakan keinginan berada di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen dan bukannya di kerusi Speaker yang disandangnya sejak sembilan tahun lalu.

Terdahulu, Abdul Rahman merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SAPURA, Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim atas sumbangan syarikat itu berjumlah RM500,000 kepada 93 masjid dan surau di daerah ini.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu institusi masjid menyemarakkan lagi ibadat dan pelbagai aktiviti berfaedah untuk manfaat penduduk,” katanya.

Loading...
scroll to top