PRU 14: SPR Nafi 13 Oktober tarikh PRU 14

PRU-14-Dijangka-Bulan-September.jpg

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menafikan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan diadakan pada 13 Oktober ini seperti ditularkan menerusi klip video dalam media sosial.

Pengerusi SPR Datuk Seri Hashim Abdullah berkata, tarikh berkenaan hanya digunakan bagi tujuan latihan dan simulasi kepada bakal petugas PRU-14 ketika program taklimat kepada Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus peringkat Kelantan yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada Isnin lalu.

“Sehubungan itu, SPR berharap semua pihak tidak mempercayai dakwaan kononnya tarikh PRU-14 sudah ditetapkan.

“SPR kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab merakam dan menyebar video ini kepada umum sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai tarikh PRU-14,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

Hashim berkata, program taklimat mengenai PRU-14 kepada semua bakal petugas sedang dijalankan di seluruh negara sejak awal tahun ini.

“Program ini adalah sebahagian daripada proses persiapan SPR untuk memberi latihan dan memperkemaskan kemahiran setiap petugas dengan peranan dan tanggungjawab mereka bagi menghadapi PRU-14 nanti,” katanya.

Dalam klip video yang berdurasi 40 saat itu, seorang pegawai SPR dilihat mengumumkan tarikh PRU-14 pada 13 Oktober manakala hari mengundi awal ditetapkan pada 11 Oktober.

Loading...
scroll to top