PRU Sabah: 60 atau 73 jumlah DUN dipertandingkan ?

Sabah-tiada-dalam-laporan-persempadanan-semula-SPR.jpg

PARLIMEN: Sabah tiada dalam laporan persempadanan semula SPR?

Laporan Kajian Semula Persempadanan kawasan pilihan raya yang diedarkan di Dewan Rakyat, mencetuskan persoalan apabila tidak memasukkan syor bagi Sabah.

Ahli Parlimen Sandakan dari DAP, Steven Wong, mempersoalkan mengapa syor persempadanan semula bagi bahagian pilihan raya Sabah tidak dimasukkan dalam laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu.

Katanya, perkara itu menimbulkan tanda tanya memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sudah pun meluluskan usul pertambahan 13 kerusi DUN, iaitu daripada 60 kerusi kepada 73 kerusi pada 9 Ogos 2016.

“Saya mahu bertanya kepada SPR, mengapa Sabah tidak dimasukkan dalam laporan ini sedangkan DUN Sabah sudah luluskan lebih dua tahun lalu.

“Adakah ini bermakna pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti, hanya 60 jumlah kerusi DUN akan dipertandingkan berbanding 73 kerusi yang sudah lulus?

“Adakah ini akan menimbulkan krisis perundangan serta tidak menghormati keputusan DUN Sabah?” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

SPR dalam satu kenyataan pada 9 Mac lalu, menyatakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Negeri Tanah Melayu, selesai dijalankan.

Laporan sebelum ini menyebut, urusan persempadanan di Semenanjung dan Sabah hampir selesai kecuali Selangor yang masih dalam peringkat syor kedua.

Kali terakhir urusan persempadanan dibuat pada 2003.

Perlembagaan Persekutuan membenarkan urusan persempadanan dibuat bagi tempoh minimum setiap lapan tahun sekali atau sekiranya berlaku pengwujudan wilayah baharu atau penambahan/pengurangan bilangan kerusi dewan.

Terdahulu, semua Ahli Parlimen menerima edaran Laporan Kajian Semula Persempadanan kawasan pilihan raya, namun Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan, dokumen itu hanya akan dibentang dan dibahaskan pada 28 Mac depan.

Pandikar Amin turut mengeluarkan arahan supaya dokumen itu tidak disiarkan kepada umum sehinggalah ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan sama, ketika sesi penggulungan menteri, Ahli Parlimen Penampang dari Parti Warisan Sabah (WARISAN), Ignatius Dorell Leiking meminta penjelasan berhubung isu sama.

Menteri di Jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata jawapan bagi persoalan itu akan dijawab secara bertulis. – Berita Harian Online

Berita Politik Sabah

13 Kerusi DUN Baru Sabah Lulus

 

Berita Berkaitan :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top