Puteri yakin jadi calon di Sabah

KOTA KINABALU: Puteri UMNO Sabah berharap lebih ramai ahli pergerakan itu diketengahkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketuanya, Normala Rasik, berkata sejak penubuhan pergerakan itu di Sabah, hanya seorang dalam kalangan ahli Puteri UMNO negeri dicalonkan iaitu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pada 2004.

Katanya, Puteri UMNO Sabah kini mencapai usia 17 tahun dan dengan kematangan itu sudah tiba masanya wakilnya diambil perhatian untuk dijadikan calon BN pada PRU-14.

“Kami berharap ada calon dari Puteri diberi peluang pada PRU-14 bagi mewakili suara orang muda di Dewan Rakyat.

“Saya sudah menyatakan hasrat itu kepada Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dalam perjumpaan Puteri dengan beliau baru-baru ini dan mendapat maklum balas positif, termasuk akan disampaikan kepada pucuk pimpinan parti,” katanya kepada BH.

Normala berkata, Puteri UMNO Sabah mengemukakan lima nama sebagai calon dalam PRU nanti, membabitkan ketua puteri bahagian yang dikenal pasti layak.

“Semua nama calon yang dikemukakan mempunyai kewibawaan, boleh bekerja dan banyak pengalaman… terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memberi peluang. Kita harap ada wakil Puteri (menjadi calon PRU-14),” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada PRU-14, Puteri UMNO Sabah mengadakan pelbagai program termasuk mendaftar ahlinya sebagai pemilih dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka terus menyokong BN.

Puteri UMNO Sabah kini mempunyai kira-kira 67,800 ahli di seluruh negeri. – Berita Harian

NORMALA (kiri) dalam sidang media Kolokium Manisfesto Orang Muda dipengerusikan oleh Ketua Pemuda BN Sabah, Yamani Hafez Musa (tengah) yang berlangsung di Kota Kinabalu baru-baru ini turut mencadangkan kepada kepimpinan parti  supaya lebih ramai pemimpin muda diketengahkan pada PRU14 nanti. Turut kelihatan adalah naib ketua Pemuda BN Sabah, Arthur Sen (kanan) – Foto Yusuf
Loading...

Join the Discussion

Your email address will not be published. Required fields are marked *

arrow