Respon Pemuda PBS Tandek

Respon-Pemuda-PBS-N5-Tandek.jpg

RESPON TERHADAP KENYATAAN IR. JOVILIS MAJAMI (Ketua Pemuda Negeri Parti Harapan Rakyat Sabah)

ISU-ISU PEMBANGUNAN

Salam Hormat dan Salam Aspirasi Perjuangan untuk warga Kota Marudu. Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua rakan dan saudara muslim yang meraihkannya. Ini adalah masa terbaik bagi kita semua untuk saling bermaaf-maafan.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah buat sahabat saya Sdra Ir. Jovilis Majami kerana lantang dalam menyuarakan permasalahan dan isu-isu pembangunan yang membelenggu daerah tercinta kita hari ini di Kota Marudu. Saya melihat ini adalah satu perkembangan yang positif kerana anak muda profesional Kota Marudu hari ini tidak kira dari pihak pembangkang mahu pun kerajaan semakin bangkit dan sedar akan tanggungjawab kita bersama dalam memastikan arus pembangunan dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat.

Agree To Disagree, sebagai anak watan Kota Marudu saya mengakui bahawa pembangunan di Kota Marudu adalah masih jauh dari impian dan harapan kita bersama untuk melihat tahap kemajuannya supaya setanding dengan daerah-daerah yang lebih maju di Malaysia. Namun dalam pada itu, saya juga menyangkal sepenuhnya kenyataan dan dakwaan bahawa pemimpin kita di Kota Marudu khususnya YBDSP Dr. Maximus J. Ongkili gagal dalam membuat perubahan atau tidak membawa apa-apa pembangunan. Ini adalah satu kenyataan yang agak nakal dan skeptikal serta bertujuan untuk membunuh karakter.

Kami dalam barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda PBS N5 Tandek yang diketuai oleh Sdra Christoper Mandut sering kali berdiskusi, membangkitkan dan menyuarakan isu-isu pembangunan bersama dengan YBDSP dan syukur dalam proses itu kita semakin memahami bahawa proses pembangunan bukanlah semudah yang kita bayangkan. Dalam hal ini, saya percaya siapa pun yang menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen ataupun ADUN akhirnya akan mengalami situasi yang sama apabila berdepan dengan permintaan, kemahuan dan harapan yang tinggi daripada masyarakat. Andai kata jika dalam Pru-14 nanti ditakdirkan calon pembangkang berpeluang diberikan mandat oleh rakyat Kota Marudu maka kita juga akan melihat senario yang sama akan berlaku. Kita tidak akan dapat melihat pembangunan itu datang mencurah-curah seperti air dalam sekelip mata sahaja.

Kenyataan bahawa YBDSP Max telah gagal membawa pembangunan merupakan satu dakwaan yang liar, tidak berasas dan tidak adil kepada beliau selaku MP yang sudah pun bertungkus lumus menyalurkan pembangunan yang kita idam-idamkan. Pada pandangan saya, usaha pembangunan yang dibuat oleh YBDSP tidak wajar dilihat dalam skop yang kecil. Jangan kerana kita tidak melihat wujudnya bangunan shoping mall yang besar, padang golf yang cantik dan indah, stadium sukan yang gah atau jalan raya yang bertingkat-tingkat maka kita menidakkan usaha pembangunan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh para pemimpin kita.

Pembangunan wajar dilihat dalam konteks yang lebih luas dan sudah tentunya menuntut kesabaran kita. Justeru, usaha untuk membangunkan Kota Marudu bukan hanya terletak di atas bahu seorang pemimpin sahaja kerana mana mungkin seseorang itu boleh memajukan suatu kawasan yang agak besar iaitu seluas 1917 km persegi dengan jumlah penduduknya yang mencecah 70 ribu orang dalam sekelip mata sahaja. Apatah lagi dengan jumlah peruntukan MP yang amat terhad iaitu kira-kira hanya 2.2 juta setahun saja. Sudah tentu ini adalah sesuatu yang amat sukar dicapai jika pemimpin itu tidak mempunyai alternatif pembangunan yang lain.

Sejujurnya, Kota Marudu hari ini bukan lagi KM yang kita lihat seperti di era PBS sebagai parti pembangkang. Sedar atau tidak, sebenarnya banyak perubahan telah pun berlaku samada di depan mata kita ataupun tidak. Semua ini adalah hasil usaha para pemimpin kita. Jika kita teliti dalam laporan dan data plan pembangunan daerah, kita dapati proses pembangunan berjalan seperti yang dirancangkan.

Proses pembangunan sedang berlaku di Kota Marudu. Dari segi infrustruktur asas sahaja seperti bekalan elektrik, air dan jaringan jalan raya sudah pun mencapai ke tahap 90 peratus meliputi semua kampung. Projek perumahan rakyat miskin diluar bandar sebanyak 2589 buah telah dan sedang dibuat oleh kerajaan. Malah untuk rakyat yang mempunyai pendapatan isi rumah yang sederhana, 720 buah rumah PR1MA sedang menanti untuk disiapkan.

Dalam bidang pendidikan, YBDSP menyalurkan dana sekitar RM400 000 setiap tahun bagi tujuan memperkasakan pendidikan anak-anak Kota Marudu. Jumlah asrama sekolah rendah telah pun ditingkatkan dan 2 buah sekolah menengah sedang dalam rangka pembinaannya.

Penaiktarafan sistem bekalan air dan jalanraya di Kota Marudu pada tahun lepas sahaja telah menelan kos sebanyak RM86 juta. Ini semua adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Dari segi pembangunan tanah pula, YBDSP telah pun maklum akan masalah yang dihadapi oleh rakyat di daerah Kota Marudu. Justeru, melalui Program PANTAS yang menggunakan dana daripada persekutuan YBDSP telah pun mencadangkan penyukatan secara berperingkat bagi 6 buah kampung semenjak tahun 2016 lagi. Sebelum itu penyukatan tanah adat melalui geran komunal telah pun selesai diusahakan untuk 2 buah kampung dan 3 lagi kampung dalam kawasan Begaraya telah selesai disukat dan dalam proses pengeluaran geran.

Penempatan Kampung Gana yang terletak begitu jauh dari Pekan Kota Marudu sedikit masa lagi akan bertukar menjadi sebuah kampung yang lengkap dengan kemudahan infrustruktur asas dengan jaringan jalanraya yang baik. YBDSP sedang dalam rangka menjadikan Kawasan tersebut sebagai kawasan Agropolitan yang akan mengubah taraf hidup ribuan penduduk di kawasan tersebut.

Hari ini, penduduk Kota Marudu juga hanya mengambil masa kurang daripada 45 minit untuk sampai ke Pusat Rekreasi Poring di Ranau kerana sistem jalanrayanya yang telah pun siap dibuat oleh kerajaan.

Apa yang saya nyatakan di atas ini hanyalah sebahagian kecil daripada usaha-usaha pembangunan yang telah pun dibuat oleh YBDSP.

Sudah tentu usaha ini belum cukup untuk memenuhi semua keperluan rakyat di Kota Marudu. Namun apa yang penting disini ialah contoh di atas adalah bukti bahawa pemimpin kita bukanlah orang yang hanya tahu duduk dan diam di kerusi empuk seperti yang dicanangkan oleh sebahagian pengkritiknya.

Saya percaya YBDSP merupakan seorang pemimpin yang jujur ikhlas dan prihatin serta sentiasa memikirkan soal pembangunan rakyat secara keseluruhannya dan masyarakat Kota Marudu khasnya.

Saya yakin dengan ilmu pengetahuan dan pengalamannya, kejujuran berjuang demi rakyat dan bukan atas kepentingan diri sendiri serta komitmen dan dedikasi beliau terhadap tugas dan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen dari dulu hingga sekarang akan membawa kita maju terus hingga ke mercu pembangunan yang mapan.

Sekian dan terima kasih.

DAVID MEJA
AJK Pergerakan Pemuda PBS N5 Tandek

Loading...
scroll to top