Shafie Apdal bercita-cita jadi Ketua Menteri

TAWAU: Datuk Seri Najib Razak berkata Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berada dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), bercita-cita untuk menjadi Ketua Menteri Sabah.

Perdana Menteri berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), bekas Naib Presiden UMNO itu ada berjumpa dengan beliau dan menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

“Cuma dia tak sebut nak jadi ketua menteri, saya cakap tak boleh… sudah jadi menteri kanan (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) teruskan kerja tolong orang kampung, jangan kejar jawatan ketua menteri.

“Dia tak cakap banyak, rupa-rupanya simpan dalam hati… dia tunggu kalau ada peluang dia tikam dari belakang. Kalau saya tak angkat dia jadi naib presiden (UMNO), siapa pun tak sokong dia kalau saya tak beri isyarat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Perbandaran Tawau, di sini, yang yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman; calon BN Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh dan calon BN Parlimen Tawau, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Najib yang juga Pengerusi BN, berkata selepas PRU-13, beliau membuat percaturan Kabinet dan meletakkan pemimpin tempatan menjaga portfolio Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kerana berpendapat Sabah dan Sarawak memerlukan peruntukan besar dan dipimpin oleh menteri dari Sabah.

“Saya fikir kalau lantik (pemimpin dari) Sabah atau Sarawak, tentulah jiwa dia sarat dengan perasaan bagaimana nak ubah keadaan hidup rakyat. Saya boleh lantik orang Semenanjung, tetapi memilih orang Sabah.

“Tetapi kemudian fikir nak jadi ketua menteri pula, fikir nak jadi timbalan perdana menteri, bukan fikir pasal rakyat. Hari ini jalan ke hulu ke hilir nak ubah apa?” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Sabah bukan sekadar ‘simpanan tetap’ BN, sebaliknya rakan paling setia dalam susah dan senang.

Perdana Menteri berkata, beliau juga amat menghargai kesetiaan rakyat dan pemimpin BN di Sabah yang tidak pernah berganjak menyokong kerajaan pimpinannya dalam apa juga situasi dan keadaan.

“Kalau simpanan tetap itu boleh disimpan dan dicairkan, tetapi Sabah lebih daripada itu… Sabah adalah rakan setia BN. Dalam keadaan senang dan susah, (rakyat) Sabah tidak pernah berganjak menyokong BN.

“BN (Sabah) di bawah kepemimpinan Tan Sri Musa, beliau merasakan kesetiaan itu adalah satu nilai penting. Cuma memang ada seorang dua itu yang menentang apabila tidak mendapat jawatan yang diidamkan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan bagi pembesaran Jalan Utara di sini, sepanjang 5.5 kilometer dengan jumlah dana akan ditentukan kemudian, selain menjanjikan peruntukan khas bagi membaikpulih rumah untuk Parlimen Tawau dan Kalabakan jika rakyat memberi mandat kepada BN.

Loading...

Leave a Reply

arrow