Shafie nafi sogok pemimpin pembangkang

Shafie-Nafi-Sogok-Pemimpin-Sabah.jpg

PUTRAJAYA 22 SEPTEMBER 2016. Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir untuk memohon pertukaran nama dan logo sebuah parti politik sedia ada di Sabah yang akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang di Pejabat ROS di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH.

TAWAU: Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menafikan beliau membayar sejumlah wang kepada pemimpin parti pembangkang untuk menyertai beliau yang dalam proses mengambil alih sebuah parti tempatan di Sabah.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, penyertaan pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking bersamanya adalah secara sukarela demi merealisasikan penubuhan sebuah parti berbilang kaum bertumpu di Sabah.

“Kita tidak pernah bayar apa-apa kepada mana-mana pemimpin untuk menyertai parti baharu ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Silaturahim Aidiladha di Kampung Batu 1 1/2 Jalan Apas, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Darell mengesahkan beliau meninggalkan PKR untuk bersama Mohd Shafie, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Terence Siambun dijangka mengambil tindakan sama dan akan membuat pengumuman mengenainya, minggu ini.

Mohd Shafie sebelum ini mengesahkan beliau akan mengambil alih sebuah parti politik sedia ada di Sabah yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang di mana beliau sendiri menjadi Presiden parti terbabit.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, mendakwa pengambilalihan parti tempatan itu bukan tindakan tergesa-gesa, malah dibincangkan secara terperinci dan dipersetujui bersama beberapa pemimpin yang menyokong beliau.

“Ini parti tempatan untuk semua kaum di Sabah dan kita akan putuskan dasar parti nanti, selain siapa yang menjadi calon dan hala tuju dengan acuan sendiri dan tidak merujuk dengan mana-mana pemimpin di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau mendakwa, parti berkenaan bukan untuk menanam kebencian kepada pemimpin sedia atau bersifat politik kenegerian, sebaliknya memperjuangkan hak rakyat Sabah.

Loading...
scroll to top