Tawaran Lebih Baik Untuk Borneo – Pakatan Harapan

Tawaran-Lebih-Baik-Untuk-Borneo-Pakatan-Harapan.jpg

Pakatan Harapan Sabah

PADA 8 Januari lalu, satu langkah demi Sabah dan Sarawak yang lebih baik tertera dengan peluncuran Pakatan Harapan (PH) Sabah oleh Ketua Pembangkang dan Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Muhamad Sabu, berserta pimpinan Pakatan Harapan Sabah Christina Liew Chin Jin (Keadilan), Stephen Wong Tien Fatt (DAP) dan Hamzah Abdullah (Amanah).

Peluncuran ini dibuat penuh hati-hati dan kebijaksanaan. Ia berada dalam kerangka penubuhan Malaysia pada 1963 – bahawa Persekutuan Malaysia ditubuhkan oleh Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura (pada masa itu) sebagai “rakan setara”.

Beberapa hari selepas itu, kita bersedih dengan pemergian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Kenyataan takziah Majlis Presiden Pakatan Harapan menyatakan kita kehilangan seorang tokoh penting, yang dengannya, kami mempunyai banyak persamaan pendirian tentang federalisme.

Antara persamaan tersebut terdapat dalam Pengantar Adenan untuk buku J.C. Fong (2016), Constitutiomal Federalism in Malaysia, dan ucapan Wan Azizah tersebut.

Antara tulisan Adenan ialah:

  • “…Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan telah memulakan perbincangan tentang autonomi Sarawak… (mengikut Perjanjian Malaysia 1963, dll)…”
  •  “…untuk memelihara kepentingan-kepentingan khas dan hak-hak Sarawak dan Sabah…”
  •  “Terma-terma… telah terlepas pandang”.
  • “… memfokus bidang-bidang yang telah tidak dipatuhi atau tidak dipenuhi atau melanggar terma-terma… tindakan dan keputusan yang tidak menepati terma-terma…”
  • “… untuk ‘mendapatkan semula’ kepentingan-kepentingan khas dan hak-hak yang sejak penubuhan Malaysia telah terlepas pandang oleh pihak berkuasa Persekutuan”.

Dalam ucapannya, Wan Azizah mengulangi “7 Perkara Pakatan untuk Borneo” (pernah diungkapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014), iaitu:

  1. Mengiktiraf semangat Persekutuan yang diangkat dalam Perjanjian Malaysia 1963, iaitu memperakui dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Sabah dan Sarawak adalah negeri yang khas dan merupakan rakan kongsi setara dengan Semenanjung Malaysia dalam Persekutuan Malaysia.
  2. Menjunjung semangat murni federalisme yang mengangkat perpaduan dalam kepelbagaian, di samping memelihara sebuah negara yang bersatu-padu dengan: memartabatkan bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan yang menyatukan semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa atau bahasa ibunda; melindungi kebebasan bersuara dan maklumat dalam semua bahasa, termasuk penggunaan nama ALLAH dalam Bible berbahasa Melayu dan Iban dan penerbitan lain; dan mewujudkan saluran televisyen untuk Borneo.
  3. Membawa reformasi ekonomi dan pembangunan sejurus kita membentuk Kerajaan Persekutuan dan negeri. Reformasi akan dijalankan dengan: perkongsian kekayaan petroleum dan kuasa dalam Petronas di antara Persekutuan-negeri (melantik pengarah ‘Lembaga Petronas’ yang termasuk wakil-wakil Sabah, Sarawak dan semua negeri pengeluar minyak yang lain; penubuhan syarikat minyak dan gas kedua milik negara sebagai rakan kongsi Petronas; dan 20% royalti bagi negeri-negeri); memansuhkan dasar kabotaj untuk menghapuskan perbezaan harga tiruan yang membebankan rakyat Sabah dan Sarawak; pembinaan lebuh raya Pan-Borneo yang berkualiti setanding dengan lebuh raya Semenanjung Malaysia; dan bekalan elektrik dan air paip untuk 90% daripada isi rumah Sabah dan Sarawak.
  4. Menubuhkan Suruhanjaya Tetap Persekutuan dan Negeri untuk mencegah naturalisasi haram dan memastikan hak mengundi tidak diberikan kepada warga asing serta menjaga sempadan Sabah.
  5. Memastikan perlindungan masyarakat asli dan alam sekitar.
  6. Menyokong pembangunan sumber manusia Sabah dan Sarawak tanpa diskriminasi agama.
  7. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengkaji keadaan federalisme Malaysia dalam tempoh tahun pertama tertubuhnya Kerajaan Persekutuan yang baru dan menyiapkan kajian ini dalam tempoh tiga tahun.

Mereformasikan dan memperbaharui sistem Persekutuan sebelum pilihan raya umum ke-15.

Komitmen kami untuk memperbaiki federalisme Malaysia adalah tawaran lebih baik buat Sabah dan Sarawak.

Tulisan Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dipetik dari akhbar Sinar Harian

Berita Berkaitan:

Loading...
scroll to top