UMNO, BN Sabah Perlu Sepakat Bagi Terus Pertahan Kerajaan – Musa

UMNO-BN-Sabah-Perlu-Sepakat-Bagi-Terus-Pertahan-Kerajaan.jpg

KOTA BELUD — Pemimpin serta anggota UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Sabah perlu sentiasa memperkasa prinsip kesepakatan dan kesepaduan dalam perjuangan parti bagi terus mempertahan kerajaan sedia ada, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata sejarah politik di Sabah yang sentiasa bertukar kerajaan suatu ketika dahulu perlu dijadikan sebagai satu pengajaran tentang betapa pentingnya prinsip itu dipegang teguh antara pemimpin dan anggota parti.

Menurutnya, kemasukan UMNO dan BN di Sabah telah membawa satu nikmat dalam kestabilan politik sekali gus membawa perubahan serta perkembangan positif secara berperingkat ke negeri ini merangkumi pembangunan infrastruktur, pendidikan dan ekonomi yang jelas memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Sekarang kita (Sabah) dalam UMNO diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku presiden parti, seorang pemimpin yang begitu prihatin dan peka mendengar keperluan rakyat Sabah serta tidak pernah jemu memberi pertolongan dalam usaha kita membangunkan negeri.

Di samping itu, UMNO Sabah juga diberi penghargaan apabila beberapa pemimpin UMNO dan BN negeri diberi peluang memegang jawatan penting dan dilantik sebagai menteri penuh di peringkat pusat.

“Oleh itu, kita perlu terus bersatu padu serta bekerjasama untuk memastikan rahmat dan kebaikan UMNO ini terus dapat dirasai,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang juga Ketua Bahagian UMNO Kota Belud.

Mengulas lanjut, Musa berkata, UMNO dan BN Sabah tidak akan cepat berpuas hati dengan rekod pencapaian parti itu di Sabah malah akan terus komited melaksanakan pembangunan negeri seperti apa yang diharapkan rakyat seterusnya memastikan kemajuan Sabah seiring dengan negeri lain di Semenanjung.

Dalam pada itu, Musa percaya Kota Belud akan terus menjadi kubu kuat UMNO dan BN sekali gus memberi kemenangan kepada parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Ini bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti itu di Kota Belud, yang merupakan ‘anak sulung’ UMNO di Sabah, akan dapat diteruskan, katanya. — BERNAMA

Musa dan rombongan disambut dengan silat dan muzik tradisi Bertitik, dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud hari ini.

Loading...
scroll to top