Umno Sabah sentiasa beri sokongan pada parti: KM

Musa-Aman-Sabah-CM.jpg
Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman

Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman

SANDAKAN: Umno Sabah sebagai adik bongsu kepada parti keramat Umno di negara ini akan sentiasa memberikan sokongan yang padu kepada parti telah banyak berjasa kepada rakyat jelata itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman turut menegaskan bahawa Umno negeri ini juga memberikan sokongan yang tidak berbelah-bagi kepada Perdana Menteri merangkap Presiden Umno iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.

Beliau berkata, institusi parti hendaklah dipertahankan dan jangan sesekali cuba digugat kerana kekuatan parti yang menyumbang kepada kestabilan negara apabila ia sentiasa kukuh.

Katanya, institusi parti juga adalah nadi kekuatan kepada rakyat jelata maka pentingnya semua pihak khususnya ahli-ahli Umno merapatkan barisan agar kekuatannya sentiasa terpelihara.

“Walaupun berlaku dakyah mahu pun tohmahan yang tidak berasas sama sekali … itu biasalah, sudah menjadi lumrah.

“Tetapi, perlu diingat bahawa jangan sesekali … kita mesti jaga dan pertahankan institusi parti ini.

“Apatah lagi, parti keramat Umno yang telah banyak berjasa kepada negara terutama apabila datang ke Sabah dengan begitu banyak perubahan pembangunan yang memberikan manfaat kepada semua.

“Oleh hal demikian … Umno Sabah sebagai adik bongsu kepada parti ini akan sentiasa memastikan parti keramat Umno akan tetap teguh dan kukuh kerana jasanya kepada semua,” jelasnya.

Musa menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Libaran 2016 di Dewan Serbaguna Sri Libaran, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita dan Hal Ehwal Pengguna yang juga mewakili Wanita Umno Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Adun Gum-Gum, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Ketua Wanita Umno Sabah merangkap Ketua Wanita Libaran, Datuk Hajah Armani Mahiruddin dan barisan pimpinan Umno Bahagian yang juga terdiri daripada sayap-sayap parti.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata peranan pergerakan itu sentiasa dihargai kerana membantu parti Barisan Nasional (BN) dalam mencapai kemenangan pada pilihan raya.

Menurut beliau, program Jalinan Rakyat (JR) yang digerakkan melalui pendekatan strategik telah membantu parti apabila ia secara tidak langsung mendekati akar umbi dengan berkesan.

Beliau kagum dengan komitmen tinggi Wanita Umno Sabah yang menjalankan aktiviti JR mahu pun Skuad Sayang dan sebagainya yang menarik keyakinan rakyat terhadap parti.

“Kita kagum dengan komitmen Wanita Umno Sabah yang sentiasa berusaha gigih demi parti. “Kita sentiasa beri sokongan padu kepada setiap program wanita .. kita mahu Wanita Umno sehebat wanita Umno di semenanjung,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh.

Mengulas lanjut, beliau berkata aktiviti gerak kerja JR telah menambah kekuatan parti Umno apabila setiap program yang dilaksanakan memberikan manfaat.

Sehubungan itu, ujarnya peranan wanita di dalam parti Umno akan menjadi benteng kekuatan kepada parti keramat itu.

“Justeru, kerajaan BN perlu dipertahankan .. elak sama sekali perkara yang tidak baik, kita kena kerja keras demi agenda parti untuk rakyat seluruhnya,” katanya.

Pada mesyuarat itu, seramai 17 wanita di pelbagai peringkat cawangan Umno Libaran masing-masing menerima Anugerah Jasa Mu Dikenang yang disampaikan Musa selaku Adun Sungai Sibuga itu.

Dalam pada itu, sejurus selepas Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Libaran itu, turut berlangsung di luar dewan Program Hari Keluarga Riang Ria Merdeka.

Antara pengisian program adalah Pertandingan Karaoke Lagu-Lagu Patriotik, Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Pemeriksaan Gigi Percuma, Kempen Tabung Derma Darah dan Cabutan Tiket Bertuah.

Loading...
scroll to top