UMNO Semporna Buat Penstrukturan Semula Jawatankuasa Untuk Perkukuh Parti

UMNO-Semporna-Buat-Penstrukturan.jpg

UMNO Semporna Buat Penstrukturan Semula

UMNO Semporna Buat Penstrukturan

UMNO Semporna Buat Penstrukturan Semula

SEMPORNA, 7 Ogos – Umno Bahagian Semporna membuat penstrukturan semula jawatankuasanya bagi terus memperkukuh pergerakan parti di bahagian itu, kata Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa UMNO Semporna, Nasir berkata penstrukturan semula itu adalah perlu bagi memenuhi keperluan terkini termasuk menyusun jentera parti di peringkat bahagian dan cawangan.

Katanya penstrukturan semula jawatankuasa itu membabitkan Datuk Ramlee Marhaban yang dilantik sebagai ketua penerangan bagi menggantikan Datuk Razak Tun Sakaran.

Razak yang sebelum ini berperanan sebagai ketua penerangan pula dilantik sebagai bendahari menggantikan Datuk Mohd Lan Allani, manakala tanggungjawab setiausaha pula diberikan kepada Mohd Syam Mohd Muksan yang menggantikan Abdul Rashid Maamun, katanya.

Dalam pada itu, Nasir yakin barisan kepimpinan UMNO Bahagian Semporna yang dibentuk menerusi penstrukturan semula jawatankuasa itu mempunyai pengalaman luas selain boleh bekerjasama sebagai satu pasukan yang kuat.

“Saya juga berharap kita semua berganding bahu meneruskan perjuangan parti. Apa yang paling penting ialah kita bekerja untuk parti, menguatkan jentera parti dan menawan hati rakyat untuk terus menyokong UMNO sekali gus memastikan UMNO Semporna terus kukuh dan utuh,” katanya.

Nasir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang mengingatkan semua anggota UMNO di Semporna supaya tidak mudah terpengaruh dakwaan daripada pihak tertentu yang mengatakan UMNO di bahagian itu sudah goyah atau bubar.

“Apa yang jelas ialah UMNO Semporna masih wujud, kukuh dan tetap utuh,” katanya.

Mengenai jawatan ketua pemuda, Nasir berkata perkara itu akan diputuskan kemudian kerana masih menunggu maklum balas daripada pergerakan pemuda UMNO pusat.

Mengenai jawatan ketua wanita pula, katanya, UMNO Bahagian sudah memanjangkan perkara berkenaan kepada badan perhubungan UMNO negeri agar mengambil langkah secepat mungkin bagi menyelesaikan masalah itu.

Pada 27 Jun lepas, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Dr Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti dan tindakan sama turut diambil dua ketua sayap iaitu Ketua Pemuda Mohd Aziz Jamman, Ketua Wanita Manis Muka Dara selain beberapa ketua cawangan bahagian itu.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan Majlis Tertinggi UMNO menggantung keanggotaan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

— BERNAMA

Loading...
scroll to top