USA Sudah Beri Cukup Isyarat Kepada Warisan – Mohd Noor

Parti Warisan Sabah Sudah diberi cukup Isyarat

KOTA KINABALU, — Gabungan Sabah atau USA, iaitu gabungan lima parti politik tempatan, sudah memberi cukup isyarat kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) mengenai kesediaannya menjalinkan kerjasama pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi USA Datuk Mohd Noor Mansur bagaimanapun berkata terpulang kepada Warisan untuk memberi maklum balas kepada isyarat USA.

“Dari mula lagi, kita telah memberi isyarat jelas kepada mereka mengenai kesediaan USA menerima Warisan. Pintu kita sentiasa terbuka kepada parti yang benar-benar memperjuangkan rakyat Sabah, tetapi ia mestilah ikhlas dan jujur,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pimpinan USA di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Datuk Seri Lajim Ukin, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) Arshad Abdul Mualap, Timbalan Presiden STAR Jalumin Bayogoh dan naib presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Kalakau Untol.

Mohd Noor berkata antara program Warisan yang pernah mereka hadiri bagi menunjukkan isyarat ingin bekerjasama adalah program di Semporna, Kota Belud, Membakut dan Tenom.

Namun, katanya isyarat itu disambut dingin oleh kepimpinan parti Warisan yang diterajui bekas naib presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Apa lagi gesture (isyarat) yang ia (Warisan) mahu?” katanya.

Mohd Noor yang juga bekas anggota Kabinet Sabah ketika era pemerintahan Berjaya berkata parti-parti pembangkang di Sabah perlu bergabung untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

— BERNAMA

Isu Mykad Shafie pertahan Tun Mahathir
Shafie Pertahan Tun M
Loading...

Leave a Reply

arrow