WARISAN miliki 35 kerusi, mahu bentuk kerajaan

warisan-miliki-35-kerusi-mahu-bentuk-kerajaan.jpg

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan gabungan parti itu bersama PKR dan DAP kini memiliki 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memiliki majoriti mudah membentuk kerajaan di Sabah.

Menurutnya, ia berikutan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bersama 29 ADUN WARISAN, PKR dan DAP sudah menandatangani surat menyokong beliau untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.

Katanya, surat sokongan itu sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, di sini, petang tadi.

Enam ADUN BN yang ‘menyeberang’ ialah dua dari Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Ewon Benedick (Kadamaian), selain empat dari UMNO iaitu Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Abdul Muis Picho (Sebatik), Datuk Osman Jamal (Balung) dan Jamawi Jaafar (Kemabong).

“Kita meminta semua pihak supaya menghormati kedudukan kami untuk membentuk kerajaan. Pihak yang berkenaan (Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman) perlu meletakkan jawatan,” katanya dalam sidang media di rumahnya di Bukit Padang di sini, lewat petang ini.

Turut hadir dalam sidang media itu, enam ADUN BN terbabit serta Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau dan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Donald Mojuntin. – Berita Harian Online

Loading...
scroll to top