Yusof Apdal Nafi 25 Ketua Cawangan UMNO Sertai Warisan

Yusof-Apdal-Nafi-25-Ketua-Cawangan-UMNO-Sertai-Warisan.jpg

Yusof Apdal

LAHAD DATU: Ketua Umno Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal menafikan dakwaan 25 ketua cawangannya menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurutnya individu yang keluar itu merupakan ahli parti yang tidak setia dan mempunyai rekod pernah keluar parti semasa pilihan raya sebelumnya.

“Siasatan dan laporan mendapati mereka yang terlibat itu bukanlah ketua cawangan dan tindakan peringkat bahagian akan menyusul terhadap mereka,” katanya.

Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas dakwaan beberapa ketua cawangan Umno Silam menyertai Warisan di Semporna, kelmarin.

Beliau menggesa agar seluruh 478 cawangan Umno Bahagian Silam tidak terpengaruh dengan perjuangan parti-parti pembangkang kerana bukti hala tuju mereka hanya akan merosakkan masa depan negara.

“Kepimpinan parti dan juga negara sudah berada di landasan yang betul untuk kita semua dengan pelbagai rancangan pembangunan yang bermanfaat kepada rakyat.

“Apakah dengan menyertai perjuangan parti pembangkang itu benar-benar boleh membela masa depan anak bangsa kita sedangkan kita sudah maju di bawah kepimpinan Presiden Umno selaku Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman,” katanya.

Yusof berkata Silam yang menjadi kubu kuat Umno dengan keahlian teramai seluruh negara mengekalkan perpaduan demi memastikan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Loading...
scroll to top