Lima ADUN BN lompat ke Parti WARISAN ?

SEKURANG-KURANGNYA lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dijangka menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) seterusnya membolehkan parti itu bersama PKR dan DAP membentuk kerajaan baharu di Sabah.

Mereka ialah Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Ewon Benedick (Kadamaian), Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik) dan Jamawi Jaafar (Kemabong) yang tiba di rumah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Bukit Padang, Kota Kinabalu bersama Presiden WARISAN itu, 5.52 petang tadi.

Mohd Shafie bersama lima ADUN terbabit serta pemimpin kanan WARISAN sebelum itu menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri bagi memaklumkan parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) memiliki kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Turut kelihatan di rumah Mohd Shafie ialah Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau dan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Donald Mojuntin.

Ketika ini, satu mesyuarat tertutup berlangsung di rumah Mohd Shafie dihadiri lima ADUN BN terbabit bersama wakil rakyat dan pemimpin kanan WARISAN.

Mohd Shafie yang juga ADUN Senallang dijangka mengadakan sidang media mengumumkan parti itu bersama PKR dan DAP akan membentuk kerajaan.

Jika ia berlaku, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang baru saja dibentuk lewat malam tadi, bakal tumbang.

Loading...

Leave a Reply

arrow