Shafie angkat sumpah malam ini – WARISAN

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah, malam ini.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking kepada media sebentar tadi, susulan dimaklumkan mengenainya oleh pihak Istana Negeri.

Mohd Shafie ketika ditemui media di kediamannya di Bukit Padang di sini, tidak mengesah atau menafikan ketika ditanya berkaitan angkat sumpah malam ini, sebaliknya hanya berkata ‘terima kasih’ ketika petugas media mengucap tahniah kepada beliau.

“Saya mahu adakan mesyuarat sekejap,” katanya sebelum beliau menaiki kenderaan dan keluar dari kediamannya, sebentar tadi.

Terdahulu, Darell berkata, Mohd Shafie akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada jam 9 malam ini di Istana Negeri.

“Kami berharap Tan Sri Musa (Aman) patut tahu apabila sudah hilang majoriti, dia patut mematuhi undang-undang. Dia perlu undur sebab sudah hilang majoriti,” katanya.

Semalam, Mohd Shafie mengesahkan parti itu bersama PKR dan DAP memiliki 35 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Ia susulan enam ADUN BN menyertai WARISAN dan menandatangani deklarasi menyokong Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri. – Berita Harian

Loading...

Leave a Reply

arrow