Ditahan Ketika Hisap Syabu

Nelayan-ditangkap-hisap-syabuPolis Limbang berjaya menahan lima lelaki kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Kelima-lima suspek yang merupakan nelayan berusia antara 26 hingga 46 tahun, ditahan dalam satu serbuan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkortik Daerah Limbang di sini kira-kira jam 1.40 petang, 28 Mac lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Seberang Kedai, di sini.

Ketika serbuan, kelima-lima suspek berada dalam keadaan mencurigakan di salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

Hasil pemeriksaan di salah sebuah bilik, polis menemui satu bekas lutsinar berwarna biru putih dan tiga peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 11.81 gram.

Polis turut menemui satu botol plastik berwarna putih juga mengandungi satu keratan tiub straw lutsinar warna putih berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.12 gram.

Semua barang tersebut dirampas dan dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Limbang untuk menjalani ujian saringan.

Siasatan awal polis ke atas suspek mendapati semua mereka berkumpul untuk menghisap dadah dan suspek yang berusia 46 tahun merupakan orang yang dikehendaki dalam senarai polis Limbang kerana lari dari tahanan.

Hasil ujian air kencing juga mendapati kelima-lima suspek positif Amphetamine dan semua mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

scroll to top