Ikan YU Gergasi Gemparkan Penduduk Mukah

Ikan Yu Gergasi di Mukah

Ikan Yu Gergasi di Mukah

Seekor ikan gergasi seberat dua tan yang ditangkap oleh nelayan di sini menggemparkan penduduk tempatan, malam kelmarin.

Ikan yu harimau itu dikatakan tersangkut dan mati di pukat sebuah bot nelayan sebelum dibawa ke kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Mukah.

Terdahulu, menurut Pembantu Operasi LKIM Rojik Jemali, bot milik nelayan dari Sibu yang hanya dikenali sebagai Ah Ping bersama juragannya itu keluar dari kuala Sungai Mukah untuk menangkap ikan beberapa hari lalu.

“Mereka tiba di Kompleks LKIM pada waktu malam semalam (kelmarin) dan kami sudah mencuba mengangkat ikan tersebut menggunakan kren di kompleks tersebut, namun ia gagal diangkat sepenuhnya kerana kren hanya mampu mengangkat bebanan seberat satu tan.

“Kami terpaksa menunggu keesokan harinya (semalam) dan seterusnya, kami menggunakan khidmat lori kren luar untuk mengangkat ikan tersebut,” ujarnya.

Ikan tersebut hanya berjaya diangkat menggunakan lori kren di tebingan Pasar Lama Mukah pada kira-kira pukul 3 petang semalam.

Tinjauan ke Pasar Lama di sini melihat ramai orang berkumpul untuk melihat lebih dekat keadaan ikan gergasi tersebut.

Menurut Rojik, bangkai ikan yu harimau tersebut telah ditanam di kawasan kuarters kediaman LKIM dengan menggunakan jentera pengorek pada kira-kira jam 4 petang semalam.

scroll to top