Ahmad Hazwan Bakri Kini Jadi Rebutan

Ahmad-hazwan-Bakri-kini-jadi-rebutan.jpg

Ahmad Hazwan Bakri

Selangor berdepan cabaran hebat untuk mengekalkan bintang penyerangnya, Ahmad Hazwan Bakri musim depan apabila pemain itu bukan sahaja dipancing juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), malah turut menarik minat satu lagi kelab Liga Super.

Hazwan, 25, mengakui menerima tawaran daripada dua pasukan dalam liga utama, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana menghormati Selangor sebagai majikannya.

“Saya minta maaf. Saya tidak boleh memberi sebarang komen mengenai masa depan saya musim depan kerana masih mempunyai baki kontrak sehingga hujung 2017.

“Bagaimanapun saya akui ada menerima tawaran daripada dua pasukan Liga Super tetapi saya tidak boleh dedahkan siapa pasukan itu,” kata Hazwan, yang ketika ini sedang bercuti di kampung halaman di Labuan.

Dianggap antara penyerang berprofil tinggi dalam Liga Malaysia (Liga M), tidak keterlaluan untuk mengatakan hanya pasukan gergasi mampu menawarkan gaji tinggi kepada pemain itu bagi membebaskannya daripada pasukan besar seperti Selangor.

Hazwan pasti menjadi tum­puan utama dalam pasaran perpindahan pemain yang sedang rancak berjalan, sebelum pendaftaran ditutup pada 22 Januari 2017.

Selain JDT, yang sudah mendapatkan dua pemain Selangor Mohd. Azrif Nasrulhaq (perte­ngahan musim) dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor (hujung musim), Pahang dilihat antara pasukan berpotensi untuk membeli penyerang kelahiran Labuan itu kerana Tok Gajah kini serius untuk membentuk pasukan mantap bagi musim 2017.

JDT sudah pun menyatakan hasrat untuk mendapatkan Hazwan apabila pada 17 November lalu pemilik kelab tersebut, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pihaknya bakal menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Pahang pula antara pasukan yang dijangka berbelanja besar musim depan untuk menguatkan semula cabaran mereka selepas nyaris tersingkir daripada liga utama musim ini.

Selepas mengharungi musim buruk pada 2016, Pahang mahu memulihkan semula re­putasinya dan langkah terbesar yang diambil pasukan itu adalah membawa pulang bekas jurulatih, Dollah Salleh.

Skuad Tok Gajah juga dikatakan mahu mendapatkan beberapa nama besar musim depan.

Loading...
scroll to top