Alijus presiden baharu SAFA

Alijus-presiden-baharu-SAFA.jpg

ALIJUS Sipil ketika sidang media selepas diumumkan sebagai pemenang pemilihan SAFA sempena kongres persatuan itu di Likas Square Ballroom, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil dipilih sebagai presiden baharu persatuan itu bagi penggal 2018-2022.

Pada kongres tahunan SAFA di sini, hari ini Alijus mendapat 39 undi daripada 52 perwakilan gabungan daerah manakala pencabarnya, Datuk Yussof Kassim yang sebelum ini memangku jawatan itu hanya memperoleh 13 undi.

Sementara itu, ahli perniagaan yang juga adik Ketua Menteri Sabah, Hamid Apdal dan Datuk Rahman Zakaria masing-masing dipilih sebagai Timbalan Presiden selepas mendapat undian tertinggi 48 dan 27 undi.

Mereka menewaskan dua pencabar iaitu bekas pemain kebangsaan, Datuk James Wong yang mendapat 12 undi dan Fredoline Penggo dengan 10 undi.

Alijus berkata, beliau terharu dengan sokongan yang diberikan kepadanya dan berjanji akan melaksanakan tugas sebagai presiden sebaik mungkin.

“Memang kami gembira (dengan kemenangan ini) tapi ini juga satu tanggungjawab yang berat dan saya harap semua yang terpilih hari ini termasuk yang masih kekal akan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan bola sepak di negeri ini terus maju.

“Saya juga ingin menegaskan, sekiranya saya tidak dapat melaksanakan tugas sebagai presiden dengan baik, saya rela mengundur diri, tidak perlu tunggu sampai empat tahun lagi namun apa yang penting sekarang kami kena melihat ke depan dan memastikan SAFA serta bola sepak Sabah terus maju,” katanya.

Loading...
scroll to top