Jorge Pereyra Diaz Tinggalkan JDT

Diaz-diam-diam-cabut-lari.jpg

Diaz ‘diam-diam cabut lari’

SELEPAS kehilangan ketua jurulatih Ulisses Morais, kelmarin, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi menerima tamparan hebat apabila penyerang mereka, Jorge Pereyra Diaz pula meninggalkan kelab itu.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini mengesahkan pemain kelahiran Argentina itu menghilangkan diri sebelum mereka berlepas ke Vietnam untuk aksi Piala AFC berdepan Song Lam Nghe An FC, esok.

Bagaimanapun, Edwards tidak memaklumkan mengenai punca sebenar penjaring terbanyak Liga Super 2016 itu bertindak meninggalkan kelab berkenaan.

 “Kelab ingin memaklumkan kepada penyokong bahawa pemain kami, Jorge Pereyra Diaz meninggalkan hotel penginapan pasukan pada jam 12 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan AFC.

“Ejen beliau sudah menghubungi kami dan memberitahu mengenai niat pemain itu yang ingin meninggalkan kelab. Kelab sudah membuat keputusan untuk menghormati keputusan itu dan membiarkan beliau pergi.

“Kami akan mencari pengganti pemain luar negara yang baharu untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka bulan Jun nanti,” kata Edwards.

Kelmarin, Morais mengumumkan peletakkan jawatannya selepas sembilan bulan membimbing juara Piala Malaysia itu sejak Jun lalu atas faktor kesihatan keluarga.

Namun, kekosongan yang ditinggalkan jurulatih kelahiran Portugal itu kini sudah diisi penolongnya, Raul Longhi yang dilantik sebagai jurulatih sementara oleh JDT, semalam.

Malah, kehilangan Diaz dilihat menambah satu lagi masalah buat JDT dengan skuad itu kini sedang memburu kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Piala AFC.

JDT kini menghuni tangga teratas Kumpulan H selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas kelab Indonesia, Persija Jakarta di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada 14 Februari lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top