Keputusan tidak menentu Pengadil Cetus Kemarahan Penyokong

Sabah akan buat aduan rasmi kepada FAM

“Mereka telah bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan, apa boleh buat… kita lupakan kekalahan ini, fokus perjuangan seterusnya,” kata pengendali Sabah, Jelius Ating.

Kata-kata itu diungkapkannya selepas menyaksikan pasukannya tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam masa tambahan aksi Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata walaupun tewas, Sabah telah membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing dengan pasukan daripada Liga Super.

“Kalau kita lihat, perlawanan hari ini (malam tadi) menarik, kami bermain dengan satu pasukan yang kuat, pasukan yang menjuarai Liga Super tahun lalu dan pernah menjulang Piala AFC sebelum ini.

“Tetapi kami buktikan pasukan kami juga mempunyai kualiti yang baik. Walaupun kalah, secara keseluruhan saya puas hati dengan semangat pemain yang bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan, mungkin bukan nasib kami,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Jelius berkata dia, bagaimanapun, sedikit kecewa dengan beberapa keputusan pengadil, Mohd Zohri Tajudin, sehingga menjejaskan rentak kedua-dua pasukan.

“Seharusnya kita melihat satu perlawanan yang menarik dengan satu keseronokan dan seni yang kita mahu.

“Bagaimanapun, ia dipengaruhi dengan satu pihak yang tidak memihak kepada kami dan mungkin juga tidak memihak kepada pasukan lawan. Ia menjadi tidak seronok,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim, berkata pihaknya akan membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung beberapa keputusan pengadil.

“Banyak keputusan tidak menentu dilakukan pengadil dan ini sebenarnya yang mencetus kemarahan penyokong,” katanya.

Aksi malam tadi menyaksikan Sabah terpaksa akur dengan gol pada babak pertama masa tambahan oleh Gonzalo Gabriel yang mengesahkan kemenangan 2-1 JDT.

Sabah sebelum itu mendahului pada minit ke-24 menerusi jaringan Lee Gil Hoon, namun disamakan oleh Luciano Figueroa pada minit ke-52. Stadium Astro

Loading...

Leave a Reply

arrow