Rayzam mahu pertahan reputasi

Rayzam-Shah.jpg

Rayzam Shah. - Foto Osman Adnan

JAKARTA 18 Ogos – Jaguh 110 meter (m) lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian menegaskan misi utama dia dalam Sukan Asia 2018 adalah untuk mempertahankan status terbaik Asia Tenggara dan ia merupakan satu bonus andai berjaya menyumbang pingat buat kontinjen negara di Jakarta.

Kata pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu, sasaran itu lebih realistik namun dalam masa sama tetap akan memberikan yang terbaik buat Malaysia.

“Saya harus terus membuktikan bahawa saya masih yang terbaik dalam kalangan atlet rantau Asia Tenggara acara ini.

“Memenangi pingat mungkin nampak sukar namun itu bukan alasan untuk saya tidak berusaha mempamerkan persembahan terbaik tambahan pula ini adalah penyertaan Sukan Asia pertama saya.

“Pencabar terdekat saya dalam kalangan atlet Asia Tenggara mungkin bakal hadir Filipina atau tuan rumah sendiri terutama selepas jaguh Thailand, Jamras Rittidet mengumumkan persaraannya,” kata Rayzam.

Catatan terbaik Rayzam ketika ini ialah 13.67 saat (s) yang juga rekod kebangsaan dilakukannya dalam kejohanan di Jerman pada Mei tahun lepas.

Beberapa atlet handalan dunia 110m berpagar lelaki seperti Taioh Kanai dari Jepun yang mencatat 13.36 saat (s) dalam kejohanan di Yamaguchi pada 24 Jun lalu bakal menjadi tumpuan utama. – UTUSAN ONLINE

Loading...
scroll to top