Striker, Defender baharu Skuad Badak

Striker-Defender-baharu-Skuad-Badak-1.jpg

Pemain Penyerang (Kiri) dan Pertahan (kanan) yang berjaya mencuri tumpuan panel pemilih pemain import Sabah

KOTA KINABALU: Sabah hampir pasti akan melengkapkan kuota empat pemain importnya dengan penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic dan pertahanan dari Zambia, Francis Kasonde.

Paunovic, 32, telah menyertai ujian pemilihan Sabah dua minggu lalu dan telah berjaya menarik perhatian panel pemilih berbanding beberapa calon import baharu yang tiba sejak penghujung minggu lalu.

Kasonde, 31 adalah antara calon import baharu yang tiba minggu ini dan berjaya memikat panel pemilih.

Pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim mengesahkan perkara itu ketika dihubungi kelmarin.

“Kedua-dua pemain itu (Paunovic dan Kasonde) telah berjaya memikat panel pemilih dan hampir pasti akan melengkapkan kuota import kita untuk mengharungi baki saingan liga musim ini. “Sekarang kita ke proses seterusnya seperti laporan kesihatan dan urusan kontrak bagi kedua-dua pemain ini menyarung jersi Sabah,” kata Juil.

Juil Nuatim

Pengurus Pasukan Sabah, Datuk Juil Nuatim

Jika sah menyarung jersi Sabah, kedua-dua pemain itu akan melengkapkan kuota maksima empat pemain import luar negara selepas telah mengikat dua pemain dri Korea Selatan sebelum ini, Lee Gi Hoon (penyerang) dan Heo Jaenyong (pertahanan/ pemain tengah).

Juil berkata, pemilihan melibatkan tujuh calon import baharu bermula Ahad lalu sepatutnya berakhir hari ini tetapi ia selesai lebih awal selepas panel pemilih mendapati Paunovic dan Kasonde jauh lebih menonjol berbanding yang lain.

“Bagus juga kita dapat selesai awal soal pemilihan pemain (import) ini bagi membolehkan kita memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan,” kata Juil.

Kelab terakhir Paunovic adalah Iskra Danilovgrad dalam Liga Pertama Montenegro di mana penyerang berketinggian enam kaki itu telah menjaringkan lapan gol dalam 11 penampilan.

Selain bermain dengan beberapa kelab dalam liga utama di negaranya, Paunovic juga pernah beraksi di Liga Thailand bersama pasukan Thai Honda Ladkrabang pada musim 2014-2015 dengan rekod jaringan 41 gol dalam 55 penampilan serta kelab Krabi pada 2016 dengan sumbangan enam gol daripada 17 penampilan.

Kasonde yang juga mempunyai ketinggian enam kaki pula adalah bekas pemain kebangsaan Zambia sejak tahun 2005 dan telah beraksi sebanyak 35 kali termasuk membantu pasukan Zambia muncul juara Piala Afrika pada 2012.

Selain pernah beraksi dengan beberapa kelab di Afrika beliau juga pernah beraksi di liga utama India, Israel dan Arab.

“Saya harap usaha terbaru kita memantapkan pasukan ini akan menampakkan hasil sebaik kita meneruskan cabaran pada hujung bulan ini.

“Kita akan terus berkerja keras memantapkan pasukan. Barisan jurulatih kita yang diketuai Jelius Ating juga telah melakukan tugas dengan baik dan telah memberikesanpositifkepada pasukan,” kata Juil.

Saingan liga kini berehat dan hanya akan di sambung pada 30 Jun di mana Sabah akan meneruskan cabaran menentang PDRM di tempat lawan.

Sabah kini di kedudukan kesembilan dalam kalangan 12 pasukan dalam carta liga dengan 11 mata selepas 13 perlawanan dengan rekod tiga menang, dua seri dan lapan kalah.

Lapan pasukan di atas Sabah didahului Negeri Sembilan dengan 29 mata diikuti Terengganu (27), Kuala Lumpur (26), Perak PKNP FC (25), UiTM FC (21), JDT II (20), PDRM (20) dan Kuantan FA (13 mata) manakala tiga pasukan di bawah Sabah adalah MISC-MIFA (enam mata), Perlis (enam mata) dan ATM FA (lima mata).

Sabah fa

PAUNOVIC dijangka akan menyertai Sabah yang bermain di bahagian serangan

Loading...
scroll to top